Jumaat, 19 April 2019 | 4:29pm

Huawei pamer perkhidmatan, produk berasaskan 5G

PUTRAJAYA: Huawei Malaysia buat julung kalinya mempamerkan rangkaian penyelesaian perkhidmatan dan produk berasaskan teknologi 5G pada Pameran 5G Malaysia yang sedang berlangsung hingga Ahad ini.

Ia termasuklah penyelesaian pengeluaran pintar, siaran langsung dron 4K, sistem awan pengecaman wajah, penjagaan kesihatan digital, agrikultur dan akuakultur pintar serta dua produk fizikal iaitu Huawei RuralStar dan Huawei Mate X.

Bagi penyelesaian sistem awan pengecaman wajah, Huawei Malaysia mengadakan demonstrasi secara langsung yang menunjukkan teknologi 5G menyambungkan peranti pengecaman kepada sistem keselamatan dalam talian seterusnya mengecam muka seseorang individu dan identiti mereka dalam masa sebenar.

Selain itu, bagi penyelesaian penjagaan kesihatan digital pula, syarikat berkenaan membuat demonstrasi bagaimana doktor menggunakan peralatan konsol untuk mengawal robot ultrasonik terpencil menerusi teknologi 5G.

Ketua Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan, berkata sebagai rakan yang dipercayai dalam transformasi digital Malaysia, syarikat itu komited untuk membina dunia pintar yang mempunyai sambungan penuh kepada manfaat digital untuk setiap individu, rumah dan organisasi di negara ini.

“Teknologi 5G bukan hanya berkisar mengenai teknologi yang lebih baik tetapi ia adalah unsur yang boleh mencipta masyarakat yang saling berhubung yang mana internet berkelajuan tinggi bukan lagi satu keistimewaan tetapi adalah hak asas bagi setiap individu dan perniagaan.

“Kami berharap dengan penyertaan kami pada pameran ini akan membuka jalan kepada pelaksanaan teknologi 5G dalam industri lain,” katanya.

Pameran 5G Malaysia yang bermula semalam berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Pada masa ini, Huawei yang juga penyedia global infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta peranti pintar sedang bekerjasama dengan lebih 50 rakan perniagaan di seluruh dunia bagi penggunaan komersial 5G.

Syarikat berkenaan juga memperoleh jumlah tertinggi kontrak komersial 5G di seluruh dunia dengan menyediakan lebih 40,000 stesen asas 5G bagi penggunaan komersil di peringkat global.

Mengulas lanjut, Yuan berkata Huawei Malaysia menyasar untuk terus menjadi pemudah cara dalam pertumbuhan ekonomi digital termasuklah dalam segmen seperti Pengeluaran Pintar, Agrikultur Pintar dan Penjagaan Kesihatan Pintar.

“Huawei Malaysia juga akan terus menjalin kerjasama dengan kerajaan dengan menyertai dan mempromosi pelaksanaan Teknologi Tujuan Awam (GPT) dalam pelbagai industri utama,” katanya.

Berita Harian X