Isnin, 25 Februari 2019 | 3:14pm
HUAWEI Mate X. - Foto Reuters

Huawei lancar telefon pintar 5G boleh dilipat

BARCELONA: Huawei Technologies Co mengumumkan telefon bimbit terbarunya, Mate X, iaitu sebuah peranti yang skrinnya boleh dilipat, menjadikannya pesaing pertama Galaxy Fold keluaran Samsung.

Dilengkapi rangkaian teknologi generasi kelima (5G), ia dijual pada harga AS$2,600 (RM10,580) dan bakal diperkenalkan di pasaran dalam masa terdekat.

Mate X juga adalah telefon pintar boleh dilipat kedua yang diumumkan dalam tempoh seminggu, selepas Samsung memperkenalkan Galaxy Fold pada Rabu minggu lalu.

"Kami mula membangunkan teknologi skrin boleh dilipat ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

"Ia sememangnya mahal, namun, terdapat pelbagai teknologi baharu pada peranti ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pengguna Huawei, Richard Yu.

Sekiranya dilipat, Mate X mempunyai skrin bersaiz 6.6 inci, iaitu besar sedikit daripada skrin Iphone XS Max keluaran Apple, dan apabila dibuka, peranti yang menggunakan sistem operasi Android itu akan menjadi sebuah tablet bersaiz lapan inci.

"Mate X menunjukkan Huawei sebagai pendahulu teknologi berinovasi, bagaimanapun ia mengambil masa beberapa tahun sebelum pengguna secara besar-besaran akan beralih kepada penggunaan 5G dan skrin boleh dilipat," kata penganalisis di Forrester, Thomas Husson.


RICHARD Yu menunjukkan telefon pintar Huawei Mate X di Barcelona. - Foto EFP

Dalam pada itu, pertumbuhan pasaran untuk telefon pintar semakin perlahan, dan pengeluar kini mencari jalan untuk memperkenalkan peranti baharu.

Disebabkan rangkaian kelajuan tinggi generasi seterusnya masih belum bersedia untuk kegunaan secara menyeluruh, syarikat kini beralih kepada menghasilkan peranti baharu bagi merancakkan lagi pesaingan.

Bagaimanapun, produk sedemikian hadir dengan kos yang tinggi dengan peranti dihasilkan Huawei itu bernilai 2,299 euro, tinggi sedikit berbanding 2,000 euro untuk Samsung Galaxy Fold yang akan mula dijual pada tahun ini.

Dengan harga telefon pintar premium kini mencecah AS$1,000 (RM4,069) seunit, pengguna kini beralih kepada alternatif yang lebih murah, sering dihasilkan oleh syarikat yang kurang dikenali.

Huawei sebelum ini menghadapi pemantauan global berhubung peralatan syarikat telekomunikasi itu, namun pertumbuhan prestasi syarikat itu sebagai pengeluar telefon pintar terus menjadi perhatian.

Tahun lalu, jenama Huawei mengatasi Apple untuk menjadi pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia, demikian menurut data daripada firma penyelidikan pasaran, IDC.

-Bloomberg

Berita Harian X