Isnin, 18 Februari 2019 | 4:14pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua dari kiri) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee (kiri) mengenai Terragraph node device' selepas melancarkan percubaan pasaran Terragraph di Georgetown. Foto NSTP/Ramdzan Masiam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua dari kiri) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee (kiri) mengenai Terragraph node device' selepas melancarkan percubaan pasaran Terragraph di Georgetown. Foto NSTP/Ramdzan Masiam.

YTL Communications lancar program perintis jalur lebar harga patut

GEORGETOWN: YTL Communications Sdn Bhd (YTL Communications) melancarkan program perintis berskala besar, Terragraph di Georgetown untuk menghasilkan sambungan jalur lebar yang boleh dipercayai, harga berpatutan dan berkelajuan tinggi untuk bandar raya itu.

Program perintis berskala besar pertama di Asia yang mendapat sokongan Facebook itu adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk melabur dan memajukan infrastruktur digital negara, bagi memastikan akses jalur lebar kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee, berkata pelancaran adalah satu kejayaan dalam mencipta teknologi yang diperlukan bagi memenuhi keperluan jalur lebar yang lebih berkualiti, sambil mengekalkan keunikan status Georgetown sebagai bandar UNESCO tanpa mengganggu infrastruktur sedia ada.

“Bermula 1 Mac ini, kami menjangka program perintis ini akan berterusan selama enam bulan, yang mana kami akan meneliti dan mengkaji penggunaan komersial sambil meneroka kaedah memanfaatkan teknologi canggih ini.

“Sebagi perintis 4G di Malaysia, kami membina dan masih mengusahakan pembinaan jaluran rangkaian 4G tulen terbesar yang telah membekalkan pelan data pada harga paling berpatutan.

“Masa depan adalah tanpa wayar. Program perintis ini dengan jelas mengesahkan kemampuan internet tanpa wayar sebagai penyelesaian berkemampuan tinggi yang berkesan dan mampu merealisasikan visi ini.

“Penemuan teknikal dalam menyediakan internet tanpa wayar gigabit dengan menggunakan Terragraph adalah pratonton era teknologi 5G,” katanya pada pelancaran Terragraph di sini, hari ini.

Ia dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Sementara itu, Naib Presiden Sambungan Facebook, Dan Rabinovitsj, berkata melalui Terragraph, firma itu sedang membina sebuah ekosistem yang mantap hasil kerjasama vendor cipset, pengilang dan pembekal perkhidmatan untuk memberi sambungan berkualiti tinggi ke kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Kami teruja kerana dapat bekerjasama dengan pengendali seperti YTL Communications yang mampu menggerakkan Terragraph dalam usaha membawa sambungan internet kepada lebih ramai orang yang tidak mempunyai kemudahan ini atau tidak mempunyai akses laju atau boleh dipercayai,” katanya.

Kerjasama industri antara kedua-dua pihak itu selaras dengan visi Pelan Fiberisasi dan Sambungan Negara (NFCP) untuk memajukan kualiti jalur lebar dan liputan di samping menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar dan membolehkan akses internet untuk semua.

Terragraph membolehkan pembekal perkhidmatan menggunakan sambungan berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan di kawasan padat pinggir bandardengan menggunakan tiang lampu dan lampu isyarat.

Facebook pula menjana reka bentuk rujukan untuk perkakasan Terragraph, yang merangkumi peralatan dan sistem perisian diperlukan untuk mengendalikan teknologi ini.

Program perintis sepanjang enam bulan itu akan meliputi peruntukan Wi-Fi untuk kegunaan awam dan akses internet tanpa wayar tetap.

Berita Harian X