Rabu, 16 Januari 2019 | 12:56pm

Grab, firma China bentuk JV edar produk insurans

HONG KONG/SINGAPURA: Grab Holdings Inc dan penyedia perkhidmatan insurans Internet pertama di China, ZhongAn Online P&C Insurance Co Ltd (ZA Insurance) akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) bagi meneroka perniagaan pengedaran insurans digital di Asia Tenggara.

JV itu akan mewujudkan pasaran insurans digital yang menawarkan produk insurans inovatif dalam pelbagai kategori, secara terus kepada pengguna menerusi aplikasi mudah alih Grab.

Ia akan bekerjasama dengan rakan insurans global untuk membangunkan barisan produk yang direka khusus untuk keperluan gaya hidup penduduk di rantau ini.

Sebagai sebahagian perjanjian, ZA International, entiti pembangunan perniagaan luar negara yang dibentuk oleh ZA Insurance akan membawa aset teknikal untuk membina platform dan panduan ekosistem kepada JV berkenaan.

Grab akan melancarkan platform insurans digital melalui aplikasi mudah alih dan memanfaatkan asas penggunanya yang meluas untuk memberikan produk insurans khusus kepada jutaan pelanggan.

Platform itu akan dilancarkan di Singapura pada separuh pertama 2019, sebelum diperluaskan ke pasaran lain.

Ia akan memberikan akses produk insurans kepada jutaan pengguna yang belum melanggan insurans atau mendapat perlindungan insurans yang rendah melalui telefon mudah alih, dengan membolehkan mereka melayari serta membayar produk insurans mampu milik melalui aplikasi Grab, tanpa melalui ejen atau broker.

Presiden Grab, Ming Maa, berkata pelancaran platform insurans itu adalah sebahagian komitmen syarikat untuk menjadi penyedia ‘superapp’ harian utama di rantau ini.

“Dengan lebih 130 juta muat turun di Asia Tenggara dan kehadiran di lebih 336 bandar, pemahaman mendalam kami terhadap tabiat dan keperluan pengguna membolehkan Grab menghasilkan produk insurans inovatif yang memberi nilai kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa ZA Insurance, Wayne Xu, berkata sejak lima tahun lalu syarikat itu telah mengumpul pengalaman untuk menyediakan perlindungan terhadap risiko kehidupan harian kepada generasi baharu pelanggan.

“Kami amat gembira mengumumkan kerjasama dengan Grab, gergasi Internet di Asia Tenggara,” katanya.

Tahun lalu, Grab memperluaskan tawarannya melangkaui pengangkutan untuk menjadi ‘superapp’ serantau dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, penghantaran bungkusan, perkhidmatan kewangan, isi kandungan dan sebagainya.

Tahun ini, Grab akan memperluaskan perkhidmatan dengan meneroka perkhidmatan kiriman wang rentas sempadan dan penjagaan kesihatan dalam talian.

Berita Harian X