X
Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:10pm
PRESIDEN Samsung Malaysia Electronics (SME), Kim Yoon Soo (depan, empat dari kiri) bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran Samsung Galaxy Note9 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN Samsung Malaysia Electronics (SME), Kim Yoon Soo (depan, empat dari kiri) bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran Samsung Galaxy Note9 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Samsung Galaxy Note9 kini di Malaysia

KUALA LUMPUR: Samsung Galaxy Note9, telefon pintar berkeupayaan tinggi kini secara rasmi dilancarkan bagi pasaran Malaysia dan orang ramai boleh mendapatkannya di gedung terpilih bermula 24 Ogos ini.

Siri Note baharu itu boleh mula didapati pada harga RM3,699 (128GB) dan RM4,599 (512GB) dengan tiga warna pilihan iaitu Midnight Black dan Metallic Copper dengan warna S Pen yang sepadan serta Ocean Blue dengan S Pen berwarna kuning.

Presiden Samsung Malaysia Electronics (SME), Kim Yoon Soo berkata, peranti terbaharu itu menggabungkan kuasa, produktiviti, ketahanan serta ciri hiburan menjadikannya sebagai telefon pintar yang wajib dimiliki.

Beliau berkata, pelancaran peranti baharu itu membuktikan Samsung terus mempamerkan legasi siri Note dengan keunggulan seperti evolusi S Pen dan sistem Galaxy menawarkan pengalaman mudah alih secara premium.

“Galaxy Note9 adalah model yang lebih menonjol berbanding sebelum ini malah ia dianggap sebagai ‘kuasa besar’ dalam kalangan model lain bagi segmen telefon pintar.

“Lebih membanggakan, pra-tempahan selama lima hari bermula 10 Ogos lalu juga menunjukkan prestasi luar biasa apabila habis ditempah dalam tempoh berkenaan.

“Ini jelas membuktikan, Galaxy Note9 adalah model yang mendapat perhatian pengguna seluruh dunia khususnya pasaran Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran telefon pintar itu di sini, hari ini.

Model baharu itu mempunyai kelebihannya tersendiri apabila mampu bertahan sepanjang hari meskipun digunakan secara terus kerana didatangkan bersama kapasiti bateri 4,000mAh iaitu terbesar dari siri Galaxy.

Kim berkata, pihaknya mengetahui siri Galaxy Note sentiasa mempunyai peminat setianya yang tersendiri yang mahu melakukan pelbagai aktiviti dengannya, maka ia didatangkan dengan dua pilihan storan dalaman iaitu 128GB atau 512GB.

"Dengan kelebihan ruang bagi kad mikro SD, Galaxy Note 9 kini bersedia untuk menyediakan ruang simpanan sehingga 1TB.

"Malah, pengguna tidak perlu bimbang apabila menggunakan telefon pintar ini secara berterusan kerana turut mempunyai sistem Water Carbon Cooling serta penyesuaian prestasi berteraskan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Selain itu, ia mempunyai paparan 6.4 inci Super AMOLED Infinity memberikan pengguna pengalaman multimedia luar biasa dan turut disertakan pembesar suara stereo yang menghasilkan audio Dolby Atmos.

Berita Harian X