Jumaat, 29 Januari 2021 | 7:51pm
Papan indeks Bursa Malaysia - Foto hiasan
Papan indeks Bursa Malaysia - Foto hiasan

Bursa Malaysia terus merudum, susut 14.22 mata

KUALA LUMPUR: Jualan berterusan dalam kebanyakan saham wajaran tinggi telah menyebabkan Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini sejajar dengan sentimen lemah di bursa serantau lain berikutan prospek ekonomi yang lemah, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 14.22 mata atau 0.90 peratus kepada 1,566.44, tinggi sedikit daripada paras terendah hariannya pada 1,560.54, berbanding paras penutup 1,580.62 pada Rabu.

Indeks itu dibuka 16.54 mata lebih tinggi kepada 1,597.16 dan bergerak antara paras 1,560.54 dan 1,597.52 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 873 berbanding 366, manakala 380 kaunter tidak berubah, 546 tidak diniagakan dan 62 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 6.54 bilion unit bernilai RM6.37 bilion daripada 5.63 bilion unit bernilai RM4.98 bilion pada Rabu.

Top Glove muncul sebagai kaunter paling untung utama dan saham paling cergas diniagakan hari ini meningkat 53 sen kepada RM6.74 dengan 161.62 juta saham bertukar tangan.

Pengeluar sarung tangan getah tempatan lain yang turut mencatatkan prestasi yang sama ialah Supermax Corp, yang meningkat 24 sen kepada RM6.80, Kossan Rubber menokok 19 sen kepada RM4.45 dan Comfort Gloves naik 5.0 sen kepada RM3.14.

Sementara itu, di pasaran serantau, pelabur mengambil pendekatan berhati-hati berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di Eropah dan Asia, sekatan perjalanan yang dilaksanakan semula dan rundingan di Washington berhubung cadangan pakej ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang bernilai AS$1.9 trilion.

Nikkei 225 Jepun turun 1.89 peratus kepada 27,663.39, Hang Seng Hong Kong susut 0.94 peratus kepada 28,283.71, Shanghai Composite China jatuh 0.63 peratus kepada 3,483.07 manakala Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.63 peratus kepada 2,901.96.

Pasaran akan ditutup pada Isnin sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 6.0 sen kepada RM7.81, Public Bank susut 17 sen kepada RM4.19, TNB jatuh 13 sen kepada RM9.65, manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare berkurangan 14 sen setiap satu masing-masing kepada RM6.71 dan RM5.11.

Dalam kalangan kaunter cergas, Iris Corp meningkat 4.0 sen kepada 43.5 sen, P.A. Resources menambah 1.0 sen kepada 21 sen manakala Fintec dan QES tidak berubah masing-masing pada 7.5 sen dan 40.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 91.33 mata kepada 11,363.81, Indeks FBMT 100 susut 85.46 mata kepada 11,104.93 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 44.74 mata kepada 12,870.86.

FBM 70 berkurangan 54.05 mata kepada 14,747.34 dan FBM ACE susut 132.90 mata kepada 11,032.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 282.18 mata kepada 14,464.06, Indeks Perladangan jatuh 49.27 mata kepada 7,097.89 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.95 mata kepada 169.19.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.55 bilion saham bernilai RM5.36 bilion berbanding 3.52 bilion saham bernilai RM4.05 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 594.50 juta unit bernilai RM88.63 juta daripada 365.21 juta unit bernilai RM57.60 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 2.39 bilion saham bernilai RM921.86 juta daripada 1.75 bilion saham bernilai RM865.46 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 496.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.24 bilion), pembinaan (161.55 juta), teknologi (376.79 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (155.49 juta), hartanah (248.62 juta), perladangan (58.79 juta), REITs (12.60 juta), dana tertutup (5,400), tenaga (268.85 juta), penjagaan kesihatan (254.85 juta), telekomunikasi dan media (74.56 juta), pengangkutan dan logistik (148.81 juta) dan utiliti (54.82 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X