Jumaat, 4 Disember 2020 | 7:58pm
Ringgit menokok 150 mata asas kepada 4.0580/0620 hari ini - Foto hiasan
Ringgit menokok 150 mata asas kepada 4.0580/0620 hari ini - Foto hiasan

Ringgit terus meningkat, hampiri RM4 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat belian berterusan terhadap unit tempatan itu, didorong oleh harga minyak yang lebih stabil, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit menokok 150 mata asas kepada 4.0580/0620 berbanding dolar AS daripada 4.0730/0750 sewaktu ditutup pada Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata harga minyak melantun lebih tinggi selepas keputusan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mengenai pengeluarannya yang sebaliknya menyuntik sentimen positif terhadap ringgit.

"Kalangan pelabur berasa lega bukan hanya kerana harga minyak yang kian stabil dan meningkat, tetapi juga disebabkan oleh kelemahan dolar AS yang dilihat positif dari segi sentimen terhadap risiko global.

"Oleh kerana Malaysia adalah negara pengeksport bersih minyak mentah dan produk-produk petroleum, sebarang pergerakan harga minyak mentah banyak mempengaruhi prestasi ringgit," katanya.

Susulan perbincangan lanjut, OPEC+ dilaporkan bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 500,000 tong sehari mulai Januari tahun depan kepada kuotanya yang pada masa ini mengesyorkan supaya pengeluaran dikurangkan kepada kepada 7.7 juta tong sehari (bpd).

Pengurangan jumlah pengeluaran pada Januari kini mencecah 7.2 juta bpd.

Pada petang semalam, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global naik 1.25 peratus kepada AS$49.32 setong.

Dalam pada itu, prestasi ringgit kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0461/0498 daripada 3.0441/0467, susut berbanding euro kepada 4.9366/9430 daripada 4.9328/9360 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4698/4772 daripada 5.4586/4617 pada Khamis.

Namun, berbanding yen, ringgit mengukuh kepada 3.9023/9080 daripada 3.9058/9081 sebelum ini.

-BERNAMA

Berita Harian X