Khamis, 3 Disember 2020 | 8:28pm
Gambar hiasan. - Foto: Sanjit Das/Bloomberg
Gambar hiasan. - Foto: Sanjit Das/Bloomberg

Ringgit terus kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum kenaikan untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut disokong rangsangan daripada minat risiko yang bertambah baik terhadap mata wang tempatan di tengah-tengah sentimen lemah mata wang AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.0730/0750 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0750/0780 pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata kenaikan berterusan ringgit itu disokong oleh peningkatan harga minyak mentah.

Ketika ini, harga penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.31 peratus kepada AS$48.40 setong.

Bagaimanapun, beliau berkata perhatian peniaga pertukaran asing tempatan kini tertumpu kepada hasil mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) lewat hari ini untuk memutuskan lanjutan pengurangan pengeluaran.

"Saya rasa akan ada hasil yang positif daripada mesyuarat OPEC, tetapi peniaga membeli ringgit berikutan jangkaan peningkatan harga minyak," katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0441/0467 daripada 3.0395/0428 pada Rabu dan susut berbanding yen pada 3.9058/9081 daripada 3.8921/8953.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.9328/9360 daripada 4.9116/9156 sebelumnya dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4586/4617 daripada 5.4377/4421.

-- BERNAMA

Berita Harian X