Selasa, 25 Ogos 2020 | 6:56pm
Dewan dagangan saham di Ibu Pejabat RHB Jalan Tun Razak. Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Dewan dagangan saham di Ibu Pejabat RHB Jalan Tun Razak. Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Bursa Malaysia ditutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung membabitkan saham-saham wajaran tinggi terpilih didahului kaunter pengeluar sarung tangan, kata peniaga.

Ketika ditutup, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.86 peratus atau 13.62 mata kepada 1,554.96 daripada 1,568.58 pada Isnin.

Awal hari ini, indeks penanda aras itu dibuka rendah iaitu merosot 5.23 mata kepada 1,563.35 dan bergerak dalam jajaran 1,552.92 hingga 1,569.58 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 843 berbanding 321 manakala 346 kaunter tidak berubah, 524 tidak didagangkan dan 35 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 10.22 bilion saham bernilai RM7.62 bilion daripada 9.95 bilion saham bernilai RM5.76 bilion pada Isnin.

Saham-saham pengeluar sarung tangan seperti Top Glove, Supermax, Kossan Rubber dan Hartalega turut muncul antara kaunter paling rugi berikutan laporan media mengenai pembangunan vaksin COVID-19 yang turut mencetuskan aktiviti pengambilan untung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata prestasi pasaran saham tempatan hari ini secara amnya dipacu oleh laporan media mengenai vaksin COVID-19 yang berpotensi dan menyebabkan pelabur beralih ke saham-saham berkaitan perubatan.

"Bagaimanapun, perlu diingatkan walaupun vaksin COVID-19 itu terdapat di pasaran, hakikatnya permintaan bagi sarung tangan akan tetap ada.

"Sehubungan itu, sebarang tindakan pelabur melepaskan saham pengeluar sarung tangan pada hari ini yang turut berkaitan dengan faktor jualan yang berlebihan, sebaliknya memberi peluang kepada pelabur (lain) membeli saham berkenaan," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM7.49, Top Glove susut RM2.50 kepada RM25.40, Public Bank turun dua sen kepada RM16.96, Tenaga meningkat dua sen kepada RM11.02 manakala Hartalega merosot RM1.00 kepada RM16.50.

Bagi saham aktif, XOX menambah 1.5 sen kepada 25 sen, Bintai naik 30 sen kepada 70.5 sen dan Solution Group menambah 18.5 sen kepada 81.5 sen.

Kaunter paling rugi adalah Top Glove, Supermax yang susut RM2.30 hingga RM19.80.

Saham paling untung menyaksikan Dutch Lady meningkat 90 sen kepada RM39.70, Petronas Dagangan meningkat 82 sen kepada RM21.22 dan Pharmaniaga menambah 69 sen pada RM5.96.

Dalam pada itu, Indeks FBM Emas susut 144.04 mata kepada 11,174.01, Indeks FBMT 100 turun 138.39 mata lebih rendah pada 10,981.15, dan FBM 70 merosot 347.06 mata kepada 14,417.85.

Indeks FBM Emas Syariah turun merosot 238.98 mata kepada 13,187.09 manakala FBM ACE susut 56.66 mata kepada 10,889.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 2.06 mata kepada 12,913.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.71 mata kepada 140.58 dan Indeks Perladangan menokok 17.09 mata kepada 7.076.34.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.74 bilion saham bernilai RM5.58 juta berbanding 2.31 bilion saham bernilai RM4.12 juta pada Isnin.

Waran meningkat kepada 942.91 juta unit bernilai RM302.08 juta berbanding 527.98 juta unit bernilai RM163.85 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada meningkat kepada 4.53 bilion saham bernilai RM1.74 bilion daripada 4.09 bilion saham bernilai RM1.47 bilion sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 780.13 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (1.83 bilion), pembinaan (181.42 juta), teknologi (527.09 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.71 juta), hartanah (330.33 juta), perladangan (52.30 juta), REIT (5.18 juta), dana tertutup (145.000), tenaga (418.07 juta), penjagaan kesihatan (376.33 juta), telekomunikasi dan media (51.98 juta), pengangkutan dan logistik (96.00 juta) serta utiliti (28.67 juta). - BERNAMA

Berita Harian X