Ahad, 16 Ogos 2020 | 11:52am
Gambar fail: Pengurup wang di sekitar Kuala Lumpur. Foto - NSTP/Aswadi Alias.
Gambar fail: Pengurup wang di sekitar Kuala Lumpur. Foto - NSTP/Aswadi Alias.

Ringgit dijangka didagang RM4.16 - RM4.23 sedolar minggu hadapan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan antara paras 4.16 hingga 4.23 berbanding dolar AS minggu hadapan.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan, berkata dengan ringgit berbanding dolar dilihat masih berada pada kedudukan terlebih belian, kejatuhan sementara dalam minggu mendatang melepasi paras psikologi 4.20 boleh mempengaruhi purata pergerakan mudah (SMA) 200 hari dolar AS-ringgit untuk bertindak sebagai tahap halangan sekitar 4.23.

"Sebarang pencapaian di bawah julat 4.18 antara 4.20 setakat bulan ini boleh menjuruskan dolar-ringgit bergerak ke paras sokongan 4.16, yang diuji kali terakhir pada bulan Mac," katanya.

Sementara itu, Tan berkata indeks Dolar (DXY) masih bertahan pada julat 92.5 hingga 94 setakat Ogos, dengan perolehan satu peratus ringgit sehingga bulan ini menjadikannya terbaik di Asia untuk tempoh berkenaan.

DXY ialah ukuran nilai dolar AS berbanding kumpulan mata wang asing.

"Dagangan mata wang dolar lemah kerana jangkaan inflasi AS yang lebih cepat menghakis kuasa membeli dolar AS dengan perolehan sebenar Perbendaharaan 10 Tahun AS jatuh kepada negatif satu peratus.

Bergerak ke minggu hadapan, Tan berkata, pelabur sudah pastinya menantikan perkembangan perundingan perdagangan antara AS dan China yang berlangsung pada 15 Ogos 2020.

"Pasaran juga akan memantau sama ada kebuntuan mengenai pakej rangsangan fiskal AS pusingan selanjutnya dapat diatasi, walaupun pengumuman data ekonomi yang lebih baik sejak kebelakangan ini boleh memberikan lebih banyak masa kepada Kongres," kata beliau.

Katanya, jika situasi itu hanya menjuruskan kepada perkembangan negatif untuk dolar, Tan berkata ia boleh mendorong mata wang Asia, termasuk ringgit untuk meninjau peluang peningkatan berbanding dolar AS.

Sejak beberapa minggu lalu, Tan berkata, ringgit terus kekal kukuh pada paras 4.20 berbanding dolar AS walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua 2020 mencatatkan pertumbuhan terendah, menguncup 17.1 peratus.

"Bagaimanapun, beberapa data ekonomi sejak kebelakangan ini menunjukkan impak pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi telah berkurangan dan pemulihan sedang berlaku.

"Ini terbukti apabila Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia IHS Markit (PMI) telah kembali mencatatkan peningkatan pada Jun dan Julai manakala eksport dan jualan pembuatan juga, masing-masing menunjukkan peningkatan tahun ke tahun pada Jun," kata beliau.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan bahawa langkah-langkah monetari dan sokongan fiskal yang telah dilaksanakan akan terus membantu negara memasuki era selepas berakhirnya pandemik meskipun risiko menurun masih lagi menyelubungi ekonomi global.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat sebelumnya, ringgit merosot 80 mata asas berbanding dolar AS untuk ditutup pada 4.1910/1950 pada hari akhir minggu urus niaga (Jumaat) daripada 4.1830/1900 minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.9260/9308 daripada 3.9589/9667 minggu terdahulu, dan tinggi sedikit berbanding euro pada 4.9416/9472 daripada 4.9426/9517 sebelumnya.

Berbanding dolar Singapura, ringgit turun kepada 3.0518/0554 daripada 3.0499/0562 sementara berbanding pound, ia lega kepada 5.4785/4854 daripada 5.4755/4864 sebelumnya.

– Bernama

Berita Harian X