Rabu, 12 Ogos 2020 | 8:16pm
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain - Foto fail NSTP
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain - Foto fail NSTP

Ringgit ditutup tidak berubah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, apabila ketidakpastian meningkat dalam pasaran pertukaran asing.

Ia selepas harga emas jatuh mendadak ke bawah paras AS$1,900 seauns daripada paras tertinggi AS$2,075 seauns.

Pada 6 petang, mata wang tempatan kekal pada paras penutup 4.1900/1950 pada Selasa berbanding dolar AS.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata langkah mengejutkan harga emas itu menyebabkan peniaga mata wang menilai semula dolar AS mereka apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS)-10 tahun meningkat tinggi di atas paras 0.60 peratus.

Bagaimanapun, Innes percaya ringgit akan mengukuh minggu depan, berdasarkan kepada persidangan video AS-China pada 15 Ogos apabila kedua-dua negara akan membincangkan isu dua hala dan perjanjian perdagangan Fasa-1 dimeterai pada Januari tahun ini.

"Walaupun kita tidak mengambil kira risiko perbincangan perdagangan AS-China, pandangan saya tentang ringgit yang lebih kukuh minggu depan masih didasarkan kepada pengesahan rasmi perjanjian perdagangan Fasa-1 AS-China," katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4675/4745 daripada 5.4864/4942 pada Selasa dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0506/0547 daripada 3.0546/0591.

Berbanding yen, ringgit menokok kepada 3.9232/9290 daripada 3.9495/9553, manakala berbanding euro ia menambah kepada 4.9300/9375 daripada 4.9383/9459.

– BERNAMA

Berita Harian X