Selasa, 11 Ogos 2020 | 7:21pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Jumlah dagangan Bursa Malaysia cecah paras tertinggi baharu

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham-saham wajaran tinggi terpilih walaupun mencatat jumlah dagangan tertinggi.

Ia turut menjejaki prestasi bercampur-campur pasaran serantau susulan risiko rundingan dagangan yang berkurangan serta jangkaan untuk menyaksikan kerajaan Amerika Syarikat memperkenalkan pakej rangsangan yang menarik.

Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup susut 6.92 mata atau 0.44 peratus kepada 1,564.74 daripada 1,571.66 yang dicatatkan pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 8.51 mata kepada 1,580.17 dan berlegar dalam jajaran antara 1,564.74 hingga 1,581.93 sepanjang dagangan hari ini.

Jumlah dagangan melonjak ke paras tertinggi baharu sebanyak 27.80 bilion saham yang bernilai RM7.80 bilion berbanding 19.76 bilion saham bernilai RM7.55 bilion pada Isnin.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 722 berbanding 552 manakala 336 kaunter lain tidak berubah, 437 tidak didagangkan dan 21 lain digantung dagangannya.

Di peringkat serantau, Bursa Saham Shanghai China susut 1.15 peratus kepada 3,340.29 manakala Indeks Nikkei Jepun naik 1.88 peratus kepada 22,750.24, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 2.11 peratus kepada 24,890.68 dan Indeks Straits Times Singapura turun 0.11 peratus kepada 2,542.60.

Seorang peniaga berkata pasaran menyaksikan dagangan tinggi pada keseluruhan sesi dagangan pagi ini dengan pembelian membabitkan sektor penjagaan kesihatan khususnya saham-saham pengeluar sarung tangan yang terus menyokong indeks utama.

Bagaimanapun, prestasi itu telah dijejaskan oleh aktiviti pengambilan untung pada sebelah tengah hari yang mengheret turun pasaran.

Sementara itu, Pencarta Kanan Maybank Investment Bank, Nik Ihsan Raja Abdullah berkata keadaan bekalan minyak yang turun naik dan peningkatan permintaan sehingga melonjakkan harga minyak mentah Brent melebihi AS$45 dolar setong, turut mendorong aliran kenaikan di Bursa Malaysia hari ini.

Berikutan itu, Indeks Tenaga Kuala Lumpur melonjak 75.97 mata atau 9.90 peratus yang dipacu oleh minat ketara terhadap kaunter berkaitan minyak dan gas, kecuali Dialog dan Sino Hua-an.

"Semua saham-saham dalam indeks tenaga itu mencatatkan kenaikan ketara dengan Sapura Energy melonjak 45 peratus dan disusuli oleh Scomi Energy (21.74 peratus) dan Alam Maritim (21.05 peratus).

Menurutnya, kebimbangan mengenai pelaburan rendah dari segi perbelanjaan pengeluaran minyak global telah meningkatkan rasa khuatir terhadap jumlah bekalan yang ada ketika permintaan beransur-ansur pulih bagi tempoh pasca-Covid-19.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun tiga sen kepada RM7.49, Top Glove naik 10 sen kepada RM27.30, Public Bank meraih 12 sen kepada RM16.92, Hartalega susut enam sen kepada RM18.30 manakala Tenaga rugi dua sen kepada RM11.00.

Bagi kaunter paling aktif, AT Systematization menokok satu sen kepada 13 sen, Velesto naik dua sen kepada 16.5 sen, Vortex menambah setengah sen kepada 10 sen, waran Sapura Energy meraih empat sen kepada 8.5 sen manakala Netx Holdings tidak berubah pada dua sen.

Selain itu, Tomei Consolidated, Nestle dan Petronas Gas muncul sebagai kaunter paling rugi dengan Tomei susut 46 sen kepada RM1.09, Nestle rugi 40 sen kepada RM139.20 dan Petronas Gas rendah 38 sen kepada RM16.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 18.0 mata kepada 11,266.56, Indeks FBM Emas Syariah turun 38.63 mata kepada 13,314.45 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 18.93 mata kepada 11,077.27.

FBM 70 melonjak 92.67 mata kepada 14,650.20 dan FBM ACE naik 25.05 mata kepada 10,640.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.94 mata kepada 12,942.51, Indeks Perladangan turun 61.91 mata kepada 6,979.54 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 1.72 mata kepada 139.31.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 16.76 bilion saham bernilai RM5.68 bilion berbanding 9.88 bilion saham bernilai RM5.16 bilion pada Isnin.

Perolehan waran meningkat kepada 604.25 juta unit bernilai RM2 juta daripada 491.36 juta unit bernilai RM208.53 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 10.43 bilion saham bernilai RM1.90 bilion berbanding 9.39 bilion saham bernilai RM2.18 bilion pada Isnin.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.20 bilion saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (2.27 bilion), pembinaan (377.25 juta), teknologi (1.13 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.98 juta), hartanah (1.45 bilion), perladangan (71.75 juta), REIT (7.59 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (9.56 bilion), penjagaan kesihatan (101.50 juta), telekomunikasi dan media (166.53 juta), pengangkutan dan logistik (349.96 juta) serta utiliti (35.73 juta).

– BERNAMA

Berita Harian X