Selasa, 14 Julai 2020 | 7:01pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Pelabur ambil untung, Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi berbeza di akhir dagangan berbanding kenaikan awal yang menyaksikan FBM KLCI meningkat kukuh kepada paras tertinggi dalam tempoh enam setengah bulan, untuk ditutup rendah hari ini berikutan pengambilan untung.

Pelabur dilihat mengambil untung di hampir semua sektor, termasuk penjagaan kesihatan yang meningkat teguh baru-baru ini dipacu terutama oleh permintaan tinggi terhadap saham pembuat sarung tangan.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras tertinggi pada 1,617.36 sebelum merekodkan pergerakan sebaliknya secara ketara untuk mengakhiri dagangan 7.68 mata lebih rendah pada 1,598.75 berbanding 1,606.43 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu susut kepada paras terendah harian 1,577.33 kira-kira setengah jam sebelum sesi dagangan hari ini berakhir.

Lingkungan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 770 berbanding 304 manakala 393 kaunter tidak berubah, 487 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 8.76 bilion saham bernilai RM8.22 bilion daripada 9.55 bilion unit bernilai RM5.70 bilion pada Isnin.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pasaran saham Asia utama juga mencatatkan penurunan hari ini.

Nikkei 225 Jepun susut 0.87 peratus kepada 22, 587.01; Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 1.14 peratus kepada 25,477.89 dan Indeks Komposit KOSPI turun 0.11 peratus kepada 2,183.61 sementara Indeks Komposit Shanghai SE kurang 0.83 peratus kepada 3,414.62.

"Pergerakan tidak menentu itu berikutan ketegangan China-Amerika Syarikat serta kekhuatiran terhadap kesan ekonomi memandangkan berlakunya peningkatan kes COVID-19," katanya kepada Bernama.

Keputusan Rumah Putih menolak hampir kesemua tuntutan maritim China di Laut China Selatan juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Beliau berkata, di peringkat tempatan, sebarang penjualan saham perbankan seterusnya boleh menyeret turun bursa tempatan memandangkan sektor itu merangkumi lebih 20 peratus permodalan pasaran keseluruhan FBM KLCI.

Pelabur juga memantau mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dijadualkan esok bagi membincangkan fasa pengurangan pengeluaran selanjutnya dalam persekitaran peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Saham berwajaran tinggi penjagaan kesihatan, Top Glove merosot 84 sen kepada RM23.16 selepas mencecah harga tertinggi baharu RM25.16 manakala Hartalega merosot 90 sen kepada RM17 setelah mencapai harga tertinggi RM18.86.

CIMB turun sembilan sen kepada RM3.71, Maybank kurang tiga sen kepada RM7.86 manakala RHB Bank menguncup empat sen kepada RM5.01.

PChem bagaimanapun menokok sembilan sen kepada RM6.31 dan TNB meningkat 12 sen kepada RM11.44.

Antara saham paling aktif, PDZ turun 6.5 sen kepada 17 sen, Careplus naik 27 sen kepada RM1.76 dan Comfort Gloves menokok 41 sen kepada RM3.84.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 65.98 mata kepada 11,252.84, Indeks FBMT 100 kurang 60.13 mata kepada 11,114.92 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 76.08 mata kepada 12,923.94.

FBM 70 merosot 102.16 mata kepada 13,905.78 dan FBM ACE turun 87.72 mata kepada 7,159.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 58.24 mata kepada 13,493.46, Indeks Perladangan menambah 137 mata kepada 6,846.65 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.74 mata kepada 138.15.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 4.20 bilion unit bernilai RM6.45 bilion daripada 4.33 bilion unit bernilai RM4.66 bilion pada Isnin.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.16 bilion saham bernilai RM539.57 juta berbanding 1.91 bilion saham bernilai RM609.48 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.4 bilion unit bernilai RM1.23 bilion daripada 3.3 bilion unit bernilai RM436.25 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 505.35 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.12 bilion), pembinaan (217.84 juta), teknologi (493.51 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (44.92 juta), hartanah ( 314.81 juta), perladangan (52.19 juta), REIT (12.97 juta), dana tertutup (69,000), tenaga (277.91 juta), penjagaan kesihatan (238.81 juta), telekomunikasi dan media (108.39 juta), pengangkutan dan logistik (780.37 juta) serta utiliti (39.74 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X