Khamis, 2 Julai 2020 | 6:58pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia melonjak 21.85 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini, selepas eksport mula mencerminkan peningkatan berikutan pembukaan semula sektor ekonomi walaupun secara beransur-ansur.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 21.85 mata atau 1.44 peratus untuk ditutup pada 1,536.28 daripada 1,514.43 yang dicatatkan semalam.

Indeks dibuka 0.35 mata lebih kukuh pada 1,514.78 dan berlegar di antara 1,513.21 dan 1,536.36.

Kelebaran pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 701 berbanding 334, manakala 403 kaunter tidak berubah, 476 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menurun kepada 5.9 bilion saham bernilai RM4.02 bilion daripada 7.33 bilion saham sebanyak RM3.6 bilion semalam.

MIDF Amanah berkata dalam satu nota hari ini: "Memandangkan kira-kira 80 peratus daripada eksport negara adalah barangan perkilangan, kelonggaran berperingkat dalam Perintah Kawalan Pergerakan telah membolehkan banyak perniagaan beroperasi semula, kami meramalkan prestasi yang lebih baik dalam Jun memandangkan fasa pemulihan selepas pandemik dimulakan pada tempoh itu."

Di peringkat serantau, Nikkei meningkat 0.08 peratus kepada 22,138.61, Indeks Hang Seng Hong Kong bertambah 1.43 peratus kepada 24,776.66 dan Indeks Straits Times Singapura menokok 0.87 peratus kepada 2,632.86.

Di kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM7.62, Tenaga menambah enam sen kepada RM11.56, Public Bank melonjak 42 sen kepada RM16.94, Hartalega naik 22 sen kepada RM 15.00 dan Petronas Chemicals memperoleh 30 sen kepada RM6.55.

Di kalangan saham paling aktif, AT Systematization bertambah sebanyak setengah sen kepada 10.5 sen manakala warannya tidak berubah pada 4.5 sen, Iris Corp meningkat setengah sen kepada 19.5 sen, PDZ menokok dua sen kepada tujuh sen, manakala VSolar turun setengah sen kepada lapan sen. - Bernama

Berita Harian X