Selasa, 23 Jun 2020 | 7:19pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia ditutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, namun mampu pulih daripada penurunan awal, disokong oleh pembelian semasa harga rendah yang sederhana di kaunter produk pengguna, di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang lebih memberangsangkan.

Penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.20 mata atau 0.28 peratus untuk mengakhiri dagangan pada 1,507.04 daripada 1,511.24 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 0.09 mata lebih rendah pada 1,511.15 dan bergerak di antara 1,492.32 dan 1,511.54 sepanjang sesi dagangan.

Lingkungan pasaran keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 522 kepada 423 manakala 446 kaunter tidak berubah, 541 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah lebih tinggi iaitu 8.75 bilion saham bernilai RM2.98 bilion daripada 6.33 bilion saham bernilai RM3.11 pada Isnin.

Peniaga berkata, pasaran Asia dalam keadaan turun naik hari ini selepas penasihat perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro berkata perjanjian perdagangan dengan China telah 'berakhir', sekali gus mengembalikan penurunan pagi ini dan meletakkan pelabur dalam mod berhati-hati.

Kenyataan itu turut dikaitkan dengan kemarahan Washington ke atas Beijing kerana tidak memberikan amaran awal mengenai penularan COVID-19, mendorong penjualan besar-besaran di seluruh pasaran ekuiti.

Bagaimanapun, peniaga berkata sentimen itu kembali pulih selepas Navarro mendakwa kenyataannya itu telah dipetik di luar konteks.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump turut melegakan kegusaran itu menerusi ciapan di Twitter: "Perjanjian perdagangan China kukuh sepenuhnya. Diharap mereka akan terus menepati syarat perjanjian."

Di bursa tempatan, kalangan saham berwajaran tinggi ialah Maybank yang susut satu sen kepada RM7.65, Public Bank jatuh 38 sen kepada RM16.40, IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM5.43 manakala TNB naik 10 sen kepada RM11.08 dan Petronas Chemicals meningkat 16 sen kepada RM6.43.

Antara saham paling aktif, Trive Property naik setengah sen kepada satu sen, Vivocom Intl dan Iris Corp masing-masing menambah satu sen kepada 3.5 sen dan 18.5 sen, namun, AT Systematization merosot 1.5 sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 24.40 mata kepada 10,591.57, Indeks FBMT 100 jatuh 25.40 mata kepada 10,441.83, manakala FBM 70 rendah 16.78 mata kepada 12,922.38.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 14.99 mata kepada 12,024.99 dan Indeks FBM ACE menokok 154.18 mata kepada 6,282.64.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.24 mata kepada 136.09, Indeks Perladangan turun 12.20 mata kepada 6,734.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 141.70 mata kepada 12,872.52.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.81 bilion saham bernilai RM2.35 bilion daripada 3.15 bilion saham bernilai RM2.32 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 460.71 juta unit bernilai RM100.23 juta daripada 382.67 juta unit bernilai RM90.07 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 3.47 bilion saham bernilai RM535.44 juta berbanding 2.80 bilion saham bernilai RM704.07 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 638.89 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (730.09 juta), pembinaan (269.01 juta), teknologi (1.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.68 juta), hartanah (119.88 juta), perladangan (54.62 juta), REIT (70.76 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (602.43 juta), penjagaan kesihatan (51.20 juta), telekomunikasi dan media (136.55 juta), pengangkutan dan logistik (193 juta) dan utiliti (21.24 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X