Jumaat, 22 Mei 2020 | 7:12pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia ditutup rendah menjelang cuti Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susut lebih daripada satu peratus apabila pelabur meraih keuntungan menjelang cuti panjang hujung minggu bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 15.35 mata atau 1.06 peratus kepada 1,436.76 daripada paras penutup 1,452.11 pada Khamis.

Indeks itu dibuka turun 0.74 mata kepada 1,451.37 dan bergerak antara paras 1,435.23 dan 1,451.44 sepanjang hari dagangan.

Jumlah dagangan kekal kukuh sebanyak 6.68 bilion unit bernilai RM4.19 bilion berbanding dengan 7.15 billon saham bernilai RM4.65 bilion.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari Ahad.

Dagangan akan disambung semula pada Rabu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau, berkata penurunan pasaran saham itu dilihat sebagai sihat, kerana indeks utama itu berada dalam trend meningkat sejak minggu lalu.

"Peniaga memilih mengambil keuntungan menjelang cuti hujung minggu yang panjang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri kerana mereka tidak pasti dengan prospek minggu depan, terutama di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang tercetus semula antara Amerika Syarikat (AS) dan China," katanya kepada Bernama.

Lau berkata, berita bahawa China enggan menetapkan sasaran keluaran dalam negara kasarnya bagi 2020 buat pertama kalinya sejak 1990, serta langkah Beijing mengetatkan undang-undang sekuriti di Hong Kong juga menjejaskan sentimen pelabur di rantau ini termasuk Bursa Malaysia.

Daripada kalangan 30 kaunter berkaitan KLCI, IHH dan Petronas Chemicals susut 27 sen setiap satu masing-masing kepada RM5.43 dan RM5.90, Maybank turun lapan sen kepada RM7.43, CIMB berkurangan sembilan sen kepada RM3.47 dan Public Bank jatuh 22 sen kepada RM15.26.

Velesto berkurangan setengah sen kepada 16 sen, KNM dan Bumi Armada turun 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 20.5 sen dan 21.5 sen manakala waran Datasonic meningkat sembilan sen kepada 58.5 sen dan GD Express naik lima sen kepada 37 sen.

Kaunter rugi utama diterajui oleh BAT yang susut RM1.58 kepada RM11.72, Westports turun 38 sen kepada RM3.57, UEM Edgenta jatuh 37 sen kepada RM2.20, Ajinomoto Malaysia susut 36 sen kepada RM14.12 dan Nestle turun 30 sen kepada RM137.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 127.97 mata kepada 10,177.12, Indeks FBMT 100 susut 124.0 mata kepada 10,025.32, manakala Indeks FBM Emas Shariah jatuh 130.97 mata kepada 11,620.34.

FBM 70 jatuh 225.91 mata kepada 12,695.16 dan FBM ACE susut 120.79 mata kepada 5,387.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 167.96 mata kepada 12,380.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.88 mata kepada 123.39 dan Indeks Perladangan jatuh 104.20 mata kepada 6,722.85.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.88 bilion saham bernilai RM3.77 bilion daripada 4.77 bilion saham bernilai RM3.90 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran naik kepada 806.49 juta unit bernilai RM177.84 juta berbanding 652.84 juta unit bernilai RM145.51 juta.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 993.18 juta saham bernilai RM233.89 juta daripada 1.72 bilion saham bernilai RM606.32 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 515.51 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (753.00 juta), pembinaan (396.12 juta), teknologi (719.74 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (76.53 juta), hartanah (212.82 juta), perladangan (238.32 juta), REITs (8.56 juta), dana tertutup (25,100), tenaga (1.18 bilion), penjagaan kesihatan (103.32 juta), telekomunikasi dan media (310.94 juta), pengangkutan dan logistik (323.97 juta) dan utiliti (38.40 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X