Rabu, 20 Mei 2020 | 7:50pm
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain

Ringgit ditutup sedikit rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila kebanyakan mata wang pasaran sedang pesat membangun diniagakan bercampur-campur ketika mata wang AS itu mengukuh berikutan keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19.

Pada 6 petang hari ini, mata wang tempatan berada pada 4.3505/3555 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3440/3510 pada Selasa.

Seorang penganalisis berkata, semua mata wang penanda aras bagi pasaran sedang pesat membangun menunjukkan momentum meningkat, apabila ekonomi mereka mula dibukakan semula dan kini mendapat rangsangan daripada keyakinan positif terhadap penemuan vaksin terbabit.

"Meskipun ancaman oleh Presiden Donald Trump untuk memotong pembiayaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pasaran masih kukuh buat masa ini kerana banyak negara menunjukkan petanda bahawa mereka berjaya membendung penularan virus itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penurunan dijangkakan hanya sementara kerana pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam menangani COVID-19 setakat ini.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0724/0761 daripada 3.0648/0706 pada Selasa dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0395/0452 daripada 4.0387/0456.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7634/7701 daripada 4.7179/7283 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3359/3438 daripada 5.3166/3269.

-BERNAMA

Berita Harian X