Rabu, 20 Mei 2020 | 10:38am
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia terus meningkat, dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini susulan peningkatan lima hari berturut-turut dan menjejaki momentum positif dicatatkan oleh pasaran saham serantau.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) naik 5.17 mata atau 0.36 peratus kepada 1,429.14 daripada 1.423.97 sewaktu dagangan ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 5.29 mata kepada 1.429.26.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 201 berbanding 167 manakala 247 kaunter tidak berubah, 1,276 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 414.79 juta bernilai RM172.42 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Nikkei Jepun meningkat 0.53 peratus kepada 20.541.03, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.31 peratus kepada 24.462.90 manakala Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan meraih 0.04 peratus kepada 1.981.46.

Rakuten Trade Sdn Bhd percaya FBM KLCI akan terus dipacu oleh sokongan daripada institusi tempatan.

"Namun, ia dijangka susut dalam lingkungan 1.410-1.415 berikutan tindakan pelabur yang mungkin mahu mengambil kesempatan bagi mendapatkan untung," katanya nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, selepas meningkat selama lima hari berturut-turut, pihaknya berpendapat bahawa keadaan itu akan disusuli dengan penyusutan dalam masa terdekat.

"Penyusutan itu berkemungkinan dilihat langkah yang menyusuli ketidaktentuan baharu dalam pasaran ekuiti global yang membolehkan pelabur meraih pulangan baru-baru ini dengan indeks utama dijangka mencecah paras psikologi 1,400.

"Aliran meningkat pula mungkin dikekang pada paras 1,430 dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Hartalega untung 21 sen kepada RM9.22, Maybank dan IOI Corp masing-masing menokok enam sen kepada RM7.51 dan RM10.60, Tenaga meningkat lapan sen pada RM12.24 dan Public Bank naik 10 sen kepada RM15.60.

Kaunter paling aktif termasuk Careplus naik enam sen kepada 82.5 sen, Hubline turun setengah sen kepada 5.5 sen manakala Eduspec, Sapura Energy dan TDM masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 10 sen dan 27 sen.

Kaunter paling untung Petronas Dagangan menokok 26 sen kepada RM20.50 manakala saham paling rugi Panasonic Manufacturing Malaysia turun 14 sen kepada RM31.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 30.28 mata kepada 10,079.30, Indeks FBMT 100 meraih 29.81 mata kepada 9,946.93 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 33.53 mata kepada 11,442.21.

FBM ACE meningkat 13.04 mata kepada 5,376.44 dan FBM 70 menambah 12.23 mata kepada 12,493.23.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 46.53 mata kepada 12,461.45, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 mata kepada 123.73 dan Indeks Perladangan menambah 29.24 mata kepada 6,563.24.

-BERNAMA

Berita Harian X