Selasa, 19 Mei 2020 | 8:35pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia terus meningkat, ditutup 13.81 mata lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini naik 0.98 peratus dengan jumlah dagangan di seluruh papan kekal tinggi pada 9.5 bilion unit selepas mencecah paras tertingginya sebanyak 11.21 bilion pada Isnin.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) meningkat 13.81 mata atau 0.98 peratus kepada 1,423.97 daripada paras penutup 1,410.16 pada Isnin.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata jumlah dagangan tinggi itu disokong terutama oleh peserta runcit kerana pasaran saham muncul sebagai satu daripada aset risiko paling mendapat permintaan susulan langkah Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga serendah 2.00 peratus.

"Pelabur, terutama peserta runcit mencari margin daripada pasaran saham apabila penurunan OPR merendahkan kadar deposit tetap yang ditawarkan oleh bank-bank," katanya kepada Bernama.

Jumlah dagangan berjumlah 9.51 bilion unit bernilai RM4.64 bilion berbanding 11.21 bilion unit bernilai RM4.40 bilion pada Isnin.

Pada pembukaan, indeks petunjuk pasaran naik 9.61 mata kepada 1,419.77, dan bergerak antara paras 1,418.76 dan 1,428.12 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 554 berbanding 500, manakala 335 kaunter tidak berubah, 502 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Yee berkata, pengambilan untung muncul hari ini apabila Bursa Malaysia antara bursa yang mencatatkan prestasi paling kukuh di Asean.

"Pasaran masih dalam mood dagangan sekarang tetapi menyaksikan aktiviti pengambilan untung terutamanya dalam saham individu," katanya.

Bagaimanapun, beliau menolak anggapan bahawa pengambilan untung berlaku kebanyakannya dalam kaunter berkaitan sarung tangan dan tenaga.

"Kebetulan kaunter-kaunter berkenaan adalah saham paling banyak diniagakan di bursa, tetapi pelabur sebenanya mengambil untung di keseluruhan papan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 28 sen kepada RM5.84, Sime Darby dan Dialog meningkat 12 sen setiap satu masing-masing kepada RM4.82 dan RM3.65, KLK menokok 72 sen kepada RM21.22 dan Genting Malaysia menambah 10 sen kepada RM2.38.

Kaunter berkaitan indeks sarung tangan getah Hartalega turun 12 sen kepada RM9.10 dan Top Glove susut dua sen kepada RM10.48.

Saham berkaitan tenaga terus menerajui kaunter paling cergas dengan KNM turun dua sen kepada 22 sen, Velesto dan Icon Offshore susut setengah sen masing-masing kepada 16.5 sen dan 12 sen, Bumi Armada jatuh 1.5 sen kepada 24.5 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 10 sen.

Kaunter paling untung F&N melonjak 88 sen kepada RM32.12 dan kaunter paling rugi Supermax-C81 turun 15.5 sen kepada 89.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 92.13 mata kepada 10,071.46, Indeks FBMT 100 naik 101.68 mata kepada 9,917.12 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 108.77 mata kepada 11,408.68.

FBM 70 meningkat 150.56 mata kepada 12,481.00 tetapi FBM ACE turun 39.91 mata kepada 5,363.40.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 83.83 mata kepada 12,414.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.22 mata kepada 123.81 dan Indeks Perladangan melonjak 200.32 mata kepada 6,534.0.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 7.04 bilion saham bernilai RM4.13 bilion daripada 8.70 billon saham bernilai RM3.96 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 727.86 juta saham bernilai RM123.03 juta daripada 539.83 juta unit bernilai RM102.03 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.74 bilion saham bernilai RM386.61 juta daripada 1.96 juta saham bernilai RM337.78 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 601.63 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (803.33 juta), pembinaan (730.25 juta), teknologi (523.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.83 juta), hartanah (328.17 juta), perladangan (581.81 juta), REIT (11,600), dana tertutup (100,000), tenaga (2.68 bilion), penjagaan kesihatan (92.72 juta), telekomunikasi dan media (411.04 juta), pengangkutan dan logistik (169.31 juta) dan utiliti (40.38 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X