Selasa, 7 April 2020 | 7:57pm
Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dan bursa di Asia, ditutup tinggi pada Selasa dengan yakin jumlah kematian dan kes baharu COVID-19 semakin perlahan di beberapa negara utama.

Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 28.23 mata atau 2.10 peratus kepada 1,369.92 daripada 1,341.69 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka tinggi 13.82 mata kepada 1,355.51 dan turun naik antara 1,352.63 dan 1,369.92 sepanjang hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 900 berbanding 134, manakala 279 kaunter tidak berubah, 608 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 6.60 bilion saham bernilai RM3.36 bilion daripada 5.98 bilion saham bernilai RM2.60 bilion semalam.

Pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) meningkat berikutan harapan penularan COVID-19 semakin perlahan, menunjukkan pemulihan ekonomi.

Indeks Dow Jones melonjak 7.73 peratus kepada 22,679.99, Nasdaq naik 7.33 peratus kepada 7,913.24 dan S&P meningkat 7.03 peratus kepada 2,663.68.

Di Asia, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 2.12 peratus kepada 24,253.29, Indeks Nikkei Jepun naik 2.01 peratus kepada 18,950.18 dan Indeks Straits Times Singapura menambah 3.99 peratus kepada 2,569.22.

Di bursa tempatan, berlaku belian yang berterusan sejak sesi pagi dan jumlah dagangan terus meningkat semasa ditutup.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat 18 sen kepada RM7.83, Tenaga naik 10 sen kepada RM12.20, IHH menambah sembilan sen kepada RM5.12 dan Maxis menokok 29 sen kepada RM5.41.

Dari segi keseluruhan, kaunter ini menyumbang 10.24 mata kepada indeks komposit.

Sementara itu, syarikat berkaitan Petronas turut muncul sebagai penyumbang kepada peningkatan indeks hari ini, susulan penemuan minyak baharu oleh syarikat minyak dan gas nasional dalam operasi di luar pesisir Teluk Mexico, AS.

Saham PetDag naik 86 sen kepada RM20.96 dan PetGas meningkat 10 sen kepada RM15.40, bagaimanapun PetChem tidak berubah pada RM4.78.

Memanfaatkan harga minyak mentah yang tinggi ialah saham perladangan. Sime Darby Plantation meningkat 40 sen kepada RM5.05, IOI Corp naik enam sen kepada RM3.93, KLK menambah 60 sen kepada RM21.26 dan PPB menokok 36 sen kepada RM16.68.

Sementara itu, senarai kaunter paling aktif terus didominasi oleh saham berkaitan tenaga menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Sapura Energy naik setengah sen kepada 11 sen, Hibiscus Energy meningkat 2.5 sen kepada 51.5 sen dan Bumi Armada menambah satu sen kepada 18 sen.

Indeks FBM Emas naik 202.52 mata kepada 9,477.71, Indeks FBMT 100 meningkat 190.59 mata kepada 9,367.77 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 260.51 mata kepada 10,402.56.

FBM 70 naik 215.44 mata kepada 11,084.20 dan FBM ACE meningkat 262.77 mata kepada 4,232.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 172.00 mata kepada 12,416.30, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 3.39 mata kepada 109.33 dan Indeks Perladangan menambah 219.16 mata kepada 6,351.81.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 4.63 bilion saham bernilai RM3.02 bilion daripada 4.56 bilion saham bernilai RM2.36 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 479.01 juta unit bernilai RM103.88 juta daripada 391.84 juta unit bernilai RM94.73 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 1.49 bilion saham bernilai RM236.29 juta daripada 1.02 bilion saham bernilai RM152.38 juta semalam.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 671.36 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (740.45 juta), pembinaan (499.67 juta), teknologi (498.03 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (76.93 juta), hartanah (283.18 juta), perladangan (137.27 juta), REIT (15.26 juta), dana tertutup (37,300), tenaga (1.39 bilion), penjagaan kesihatan (45.89 juta), telekomunikasi dan media (104.03 juta), pengangkutan dan logistik (133.72 juta), dan utiliti (36.11 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X