Jumaat, 27 March 2020 | 2:35am
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. NSTP/SALHANI IBRAHIM
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. NSTP/SALHANI IBRAHIM

COVID-19: SC beri kelonggaran pembiayaan margin pelabur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan langkah tambahan oleh Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) untuk membantu peserta pasaran dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu dan mencabar ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, SC berkata, broker, atas budi bicara mereka, tidak boleh membuat panggilan margin atau mengenakan pengurangan nilai ke atas apa-apa cagaran dan sekuriti yang dibeli dan dibawa ke dalam akaun margin.

Mereka juga diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara sama ada hendak mengenakan langkah-langkah jualan paksa ke atas pelanggan atau tidak.

Sebelum ini, broker dikehendaki secara automatik mencairkan akaun margin pelanggan sekiranya ekuiti dalam akaun tersebut susut di bawah 130 peratus daripada baki tertunggak.

SC juga telah meluluskan senarai dengan tambahan cagaran yang diterima bagi pembiayaan margin.

Dengan kelonggaran ini, broker kini boleh menerima cagaran lain seperti bon, unit amanah, emas dan harta tak alih untuk mengekalkan akaun margin pelanggan mereka, dan menilai cagaran ini dengan sewajarnya, kata SC.

Semua langkah di atas yang berkuat kuasa dari 27 Mac hingga 30 September 2020, ia adalah tertakluk kepada broker yang memenuhi nisbah kecukupan modal dan dana pemegang saham masing-masing seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia.

Mereka juga diharapkan menggunakan budi bicara mengikut polisi risiko kredit masing-masing.

“Langkah ini akan membantu para broker untuk terus memberi tumpuan kepada perniagaan mereka dan membantu pelanggan mereka dalam tempoh ketidaktentuan dan ketidakpastian yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang disebabkan oleh kesan COVID-19 yang lebih meluas terhadap pasaran,” kata Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

Sementara itu, untuk memudahcarakan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), broker, peserta dagangan, peserta penjelasan dan ejen depositori yang diberi kuasa adalah digalakkan untuk menjalankan tempoh perkhidmatan kaunter yang lebih pendek kepada pelanggan mereka.

Butiran lanjut mengenai langkah tambahan ini akan diumumkan oleh Bursa Malaysia.

SC turut mengesahkan bahawa pasaran modal akan terus beroperasi seperti biasa, dalam waktu dagangan biasa, semasa tempoh MCO yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Semua peserta pasaran modal berlesen dan berdaftar dikehendaki tetap dibuka dan beroperasi selaras dengan objektif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19.

SC telah secara proaktif memantau perkembangan berkaitan COVID-19 di peringkat negara dan global untuk menilai impaknya dan akan terus menilai dan menyelaras tahap responsnya demi mengekalkan integriti pasaran. - Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X