Rabu, 25 March 2020 | 12:08pm

Minyak mentah naik sedikit, Brent diniagakan AS$28 setong

SINGAPURA: Harga minyak meningkat sedikit pada sesi dagangan Asia hari ini, disokong isyarat bahawa Kongres Amerika Syarikat (AS) semakin hampir memuktamadkan pakej rangsangan ekonominya yang terjejas akibat COVID-19, selain kenaikan komoditi itu menjejaki keuntungan di Wall Street.

Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent naik 2.9 peratus untuk diniagakan hampir AS$28 setong, sementara penanda aras AS, West Texas Intermediate menokok 3.5 peratus kepada hampir AS$25 setong.

Kedua-dua kontrak terjejas apabila mencatat paras rendah pelbagai tahun dalam tempoh beberapa minggu lalu susulan pelaksanaan darurat dan sekatan perjalanan bagi mengekang virus menjejaskan permintaan, manakala pengeluar minyak utama dunia, Arab Saudi dan Russia terbabit dengan perang harga.

Kenaikan hari ini hadir selepas indeks Dow Jones menokok 11.4 peratus, kenaikan peratusan harian terbesar sejak 1933, disokong petunjuk bahawa Kongres menghampiri persetujuan mengenai pakej penyelamat ekonomi AS yang dikatakan boleh mencecah melebihi AS$2 trilion (RM8.8 trilion).

Pasaran juga meraih manfaat daripada janji G7 untuk melakukan apa yang perlu, selain pengumuman Fed pada Isnin bahawa ia akan menyuntik dana tanpa had ke dalam sistem kewangan dan akan menjadi pemberi pinjaman akhir kepada sektor bermasalah.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa kenaikan itu hanya sementara.

“Terdapat ketiadaan permintaan di tengah-tengah peningkatan mendadak inventori fizikal,” kata Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X