Jumaat, 13 Disember 2019 | 9:18am

Nikkei Tokyo dibuka tinggi

TOKYO: Indeks saham utama Tokyo, Nikkei, dibuka hampir dua peratus lebih tinggi hari ini, didorong harapan perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China akan dimuktamadkan dan ramalan kemenangan pilihan raya Britain yang memihak kepada Parti Konservatif, membuka laluan kepada Brexit.

Indeks Nikkei 225 menokok 1.87 peratus atau 437.99 mata kepada 23,862.80 dalam dagangan awal manakala indeks Topix naik 1.48 peratus atau 25.30 mata pada 1,738.13.

Pelabur bersorak kerana kedua-dua kebimbangan utama reda, iaitu perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia dan ketidakpastian berhubung keluarnya Britain dari Kesatuan Eropah (EU).

"Pasaran memberi reaksi kepada berita positif perjanjian AS-China dan undi United Kingdom," kata Kyoko Amemiya, penganalisis pasaran kanan di SBI Securities, kepada AFP.

Undian Brexit juga menunjukkan bahawa Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson berada di landasan untuk menjaring kemenangan parlimen yang besar, menolak naik pound kira-kira dua peratus berbanding dolar AS. - AFP

Berita Harian X