Isnin, 2 Disember 2019 | 7:29pm

Ringgit tutup sedikit rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila kekukuhan dolar mengehadkan permintaan terhadap mata wang tempatan itu.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1780/1820 berbanding dolar AS daripada para penutup 4.1750/1780 pada Jumaat.

Peniaga berkata, permintaan terjejas oleh sentimen berhati-hati terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) menjelang pengumuman beberapa data ekonomi utama tidak lama lagi, ditambah dengan prospek suram perjanjian perdagangan AS-China.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu turun berbanding yen Jepun kepada 3.8107/8153 daripada 3.8100/8138 pada Jumaat minggu lalu, susut berbanding pound kepada 5.3925/4002 daripada 5.3807/3859 dan jatuh berbanding euro kepada 4.6025/6073 daripada 4.5938/5987 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0521/0561 daripada paras 3.0550/0579 pada Jumaat. -- BERNAMA

Berita Harian X