Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:08am

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan permintaan lemah, sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang rendah.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota berkata, kebanyakan peserta institusi mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk lebih banyak rangsangan terhadap indeks saham wajaran tinggi sebelum memutuskan tindakan mereka yang seterusnya.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.58 mata kepada 1,571.51 daripada 1,574.09 ketika ditutup semalam.

Indeks utama dibuka rendah 2.43 mata kepada 1,571.66.

Suasana pasaran, bagaimanapun, positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 76 dengan 193 kaunter tidak berubah, 1,601 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 185.36 juta saham bernilai RM71.95 juta.

Menurut Malacca Securities, saham berkaitan indeks terus berada dalam jajaran kecil semalam seperti yang dijangka, berdasarkan masih terdapat beberapa petunjuk menarik yang boleh diikuti oleh pemain institusi.

"Melihat kepada keadaan pasaran semasa, kita menyaksikan trend yang tidak menunjukkan minat yang berterusan dalam kalangan saham senaraian FBM KLCI berikutan aktiviti yang masih kurang menggalakkan," katanya.

Oleh itu, firma broker saham itu mengekalkan pandangannya bahawa indeks utama akan berada dalam paras 1,566 dan 1,576 dalam tempoh terdekat dengan kecenderungan penurunan, manakala paras sokongan dan halangan, masing-masing pada 1,562 dan 1,580.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga merosot 10 sen kepada RM13.70, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM7.39, Public Bank meningkat empat sen kepada RM19.34 manakala Maybank dan IHH, masing-masing tidak berubah pada RM8.50 dan RM5.69.

Daripada saham paling aktif, Bumi Armada menokok empat sen kepada 44 sen, waran Green Packet naik satu sen kepada 33 sen, Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 26.5 sen, manakala NetX dan PUC, masing-masing tidak berubah pada dua sen dan 5.5 sen.

Hong Leong Financial muncul sebagai kaunter paling rugi, merosot 44 sen kepada RM16.58, manakala kaunter paling untung, Carlsberg naik 20 sen kepada RM26.96.

FBM 70 menambah 1.90 mata kepada 14,095.33, FBM Ace naik 27.55 mata kepada 4,872.44, bagaimanapun Indeks FBMT 100 merosot 13.38 mata kepada 11,001.85.

Indeks FBM Emas susut 11.77 mata kepada 11,190.62 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 18.51 mata kepada 11,810.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 18.97 mata kepada 15,230.41, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.15 mata kepada 152.89 dan Indeks Perladangan turun 14.46 mata kepada 6,609.24.

-- BERNAMA

Berita Harian X