Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:19pm

Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup pada paras tertinggi hariannya hari ini, didorong aktiviti pembelian semasa harga rendah di saat-saat akhir dalam kaunter berkaitan indeks selepas bergerak rendah bagi sebahagian besar tempoh dagangan.

Peniaga berkata, minat belian pada saat-saar akhir dapat dilihat dalam saham komponen indeks seperti Hong Leong Financial dan Dialog.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.16 mata atau 0.20 peratus kepada 1,574.09 daripada 1,570.93 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu bergerak antara 1,567.70 dan 1,574.09 sepanjang dagangan hari ini selepas dibuka 0.66 mata lebih rendah kepada 1,570.27.

Pembelian pada saat-saat akhir telah mendorong jumlah dagangan melonjak kepada 3.28 bilion saham bernilai RM2.09 bilion daripada 2.27 bilion saham bernilai RM1.47 bilion pada Isnin.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 452 berbanding 411, manakala 384 kaunter kekal tidak berubah, 770 kaunter tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Peniaga berkata, prestasi positif di bursa tempatan juga sejajar dengan kenaikan di pasaran serantau di tengah-tengah peningkatan keyakinan terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China.

“Presiden Donald Trump memuji usaha rundingan perdagangan itu yang mencatatkan kemajuan, malah Timbalan Menteri Luar China, Le Yucheng juga memberi kenyataan yang menyakinkan.

“Kenyataan daripada kedua-dua pemimpin itu telah memberi petunjuk yang amat positif kepada pasaran,” katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.78 peratus kepada 3,163.74, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.23 peratus kepada 26,786.20 dan Indeks Kospi Komposit Korea Selatan menambah 1.16 peratus kepada 2,088.86.

Antara saham berwajaran tinggi, Hong Leong Financial, yang juga saham paling untung, melonjak 70 sen kepada RM17.02, Dialog menambah tujuh sen kepada RM3.52, Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM16.80, IHH menokok tiga sen kepada RM5.69 dan IOI Corp naik empat sen kepada RM4.29.

Bagi saham aktif, Bumi Armada susut lapan sen kepada 40 sen, Sapura Engery turun setengah sen kepada 26 sen, MTAG kurang tiga sen kepada 51 sen, NetX tidak berubah pada dua sen, manakala IFCA MSC menokok lima sen kepada 43.5 sen.

FBM 70 turun 25.83 mata kepada 14,093.43 manakala Indeks FBMT 100 naik 12.03 mata kepada 11,015.23 dan FBM Ace menambah 13.48 mata kepada 4,844.89.

Indeks FBM Emas menokok 10.09 mata kepada 11,202.39 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 20.18 mata kepada 11,828.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.18 mata kepada 15,249.38, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.40 mata kepada 153.04 tetapi Indeks Perladangan susut 15.77 mata kepada 6,623.70.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.13 bilion saham bernilai RM1.81 bilion daripada 1.42 bilion saham bernilai RM1.23 bilion pada Isnin.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 325.44 juta unit bernilai RM56.96 juta berbanding 319.83 juta unit bernilai RM61.92 juta semalam.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 828.88 juta saham bernilai RM220.27 juta daripada 829.37 juta saham bernilai RM178.51 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 248.20 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (210.39 juta), pembinaan (104.10 juta), teknologi (290.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.63 juta), hartanah (108.51 juta), perladangan (21.25 juta), REIT (12.38 juta), dana tertutup (3,500), tenaga (934.94 juta), penjagaan kesihatan (10.79 juta), telekomunikasi dan media (92.83 juta), pengangkutan dan logistik (30.64 juta) serta utiliti (25.01 juta). - BERNAMA

Berita Harian X