Selasa, 22 Oktober 2019 | 10:34am

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit tetapi kemudiannya meningkat kembali sejajar dengan bursa serantau lain dan prestasi kukuh semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.44 mata kepada 1,571.37 daripada paras penutup 1,570.93 pada Isnin, selepas dibuka turun 0.66 mata kepada 1,570.27.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 146 berbanding 80 dengan 189 kaunter tidak berubah, 1,602 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 128.43 juta saham bernilai RM54.62 juta.

Bagaimanapun, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka FBM KLCI tidak berubah di bawah keadaan semasa.

"Kenaikan sukar dicatatkan berikutan kekurangan petunjuk baharu dan kebimbangan berterusan terhadap potensi pertumbuhan pendapatan korporat.

"Pada masa yang sama, tekanan jualan telah berkurangan apabila jualan asing telah mereda buat masa ini,” kata firma pembrokeran saham itu.

Firma itu menjangkakan petunjuk utama terus berada dalam jajaran kecil antara paras 1,566 dan 1,576 buat masa ini.

Sementara itu, dalam nota berasingan, Public Investment Bank Bhd berkata, FBM KLCI menjangkakan dagangan tidak berubah sekitar paras 1,565 sepanjang minggu ini.

"Paras sokongan bagi indeks itu berada di paras 1,500, 1,515 dan 1,551, manakala paras ketahanan pada 1,580, 1,600 dan 1,622," kata bank pelaburan itu.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun meningkat 0.25 peratus kepada 22,548.90, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.33 peratus kepada 26,813.8158 manakala Indeks Straits Times Singapura menambah 0.98 peratus kepada 3,169.96.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.52, Public Bank meningkat empat sen kepada RM19.32, IHH menokok satu sen kepada RM5.67, Tenaga susut 10 sen kepada RM13.70 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.40.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, waran Green Packet dan NetX tidak berubah setiap satu masing-masing pada 32 sen dan dua sen, Bumi Armada dan Lay Hong meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 48.5 sen dan 51 sen manakala Ucrest naik 1.5 sen kepada 16 sen.

Carlsberg adalah kaunter untung paling utama, naik 28 sen kepada RM26.54 manakala kaunter rugi utama adalah Nestle yang jatuh 60 sen kepada RM143.60.

FBM 70 meningkat 11.45 mata kepada 14,130.71, Indeks FBMT 100 naik 4.47 mata kepada 11,007.68 dan FBM Ace melonjak 22.21 mata kepada 4,853.62.

Indeks FBM Emas naik 5.72 mata kepada 11,198.02 tetapi Indeks FBM Emas Shariah turun 3.64 mata kepada 11,805.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.27 mata kepada 15,244.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.17 mata kepada 152.81 tetapi Indeks Perladangan jatuh 9.66 mata kepada 6,629.81.

-- BERNAMA

Berita Harian X