Selasa, 22 Oktober 2019 | 10:21am

Harga minyak sedikit kukuh, Brent AS$59.10 setong

SEOUL: Harga minyak sedikit mengukuh hari ini, disokong oleh petunjuk positif dalam perbincangan mengenai penyelesaian pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China.

Bagaimanapun kenaikan masih lagi dipengaruhi dengan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global yang boleh menjejaskan permintaan minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$59.10 setong pada 0027 GMT, naik 14 cents, atau 0.2 peratus daripada penutup sebelumnya.

Brent ditutup rendah 0.8 peratus pada AS$58.96.

Manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS menokok 18 cents, atau 0.3 peratus daripada penutup sebelumnya kepada AS$53.49 setong.

Pada sesi sebelumnya, WTI ditutup 0.9 lebih rendah pada AS$53.31 setong.

Presiden AS, Donald Trump pada Isnin berkata, usaha untuk mengakhiri perang perdagangan AS dengan China masih berjalan lancar dengan kedua-dua negara sedang membincangkan kandungan Fasa I persefahaman untuk ditandatangani kedua pemimpin di Sidang Kemuncak APEC, bulan depan.

“Pasaran komoditi optimis namun berhati-hati di tengah-tengah petunjuk kesepakatan perdagangan yang hampir dipersetujui oleh AS dan China,” menurut Bank ANZ dalam satu nota.

Katanya, harga minyak mentah kekal lemah, dengan kemerosotan ekonomi berterusan dipengaruhi sentimen.

Brent susut kira-kira 22 peratus bermula pertengahan April, manakala WTI jatuh sekitara 20 peratus daripada paras tertingginya pada April.

-REUTERS

Berita Harian X