Isnin, 21 Oktober 2019 | 6:55pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia selari dengan aliran prestasi serantau untuk ditutup rendah hari ini berikutan pelabur sedang menunggu lebih banyak pemangkin untuk hala tuju pelaburan, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.

Ketua Penyelidiknya, Kenny Yee, turut tidak menolak kemungkinan bahawa berita mengenai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi peringatan bahawa Malaysia yang bergantung pada eksport mungkin akan dikenakan sekatan perdagangan, juga telah, sedikit sebanyak, menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.22 mata kepada 1,570.93 daripada 1,571.15 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Indeks yang dibuka 2.37 mata lebih rendah pada 1,568.78, berlegar antara 1,565.08 dan 1,572.06 sepanjang hari.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 438 berbanding 380, manakala 391 kaunter tidak berubah, 808 tidak diniagakan dan 15 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.27 bilion saham bernilai RM1.47 bilion daripada 2.95 bilion saham bernilai RM2.22 bilion Jumaat lalu.

Mengulas prestasi pasaran, Yee berkata berita berkenaan telah menjejaskan sedikit momentum belian di kaunter berkaitan indeks utama, susulan penggiat keinstitusian agak sangsi dengan hala tuju pelaburan.

"Sentimen turut terjejas lebih lanjut apabila peserta pasaran menyaksikan pelabur antarabangsa telah mengeluarkan ekuiti tempatan bernilai RM8.69 bilion daripada Bursa Malaysia setakat tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Yee berkata secara keseluruhan, bursa tempatan masih disokong belian di Pasaran Ace dan saham modal kecil.

"Sokongan belian turut dilihat di kaunter berkaitan teknologi, ini dirangsang oleh Belanjawan 2020 yang memberi tumpuan pada pendigitalan," katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun menokok 0.25 peratus kepada 22,548.90, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.02 peratus kepada 26,725.68 dan Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.80 peratus kepada 3,139.15.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH masing-masing susut satu sen kepada RM8.49 dan RM5.66, Tenaga dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM13.80 dan RM19.28, manakala Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM7.40.

Antara saham paling aktif, NetX dan Sanichi masing-masing turun setengah sen kepada dua sen dan 4.5 sen, Bumi Armada naik 3.5 sen kepada 48 sen, MTAG menokok tiga sen kepada 54 sen manakala Sino Hua-an naik 1.5 sen kepada 16 sen.

Menduduki senarai teratas saham yang mencatatkan kerugian tertinggi, F & N turun 84 sen kepada RM34.36, manakala saham yang mencatatkan kenaikan tertinggi, KESM naik 38 sen kepada RM8.00.

FBM 70 turun 2.51 mata kepada 14,119.26, Indeks FBMT 100 susut 1.60 mata kepada 11,003.20 tetapi FBM Ace naik 48.17 mata kepada 4,831.41.

Indeks FBM Emas meningkat 2.56 mata kepada 11,192.30 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 7.42 mata kepada 11,808.65.

Mengikut sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan turun 53.43 mata kepada 15,221.19, manakala Indeks Perladangan naik 14.74 mata kepada 6,639.47 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.08 mata kepada 152.64.

Pasaran Utama mengecil kepada 1.42 bilion saham bernilai RM1.23 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 319.83 juta unit bernilai RM61.92 juta daripada 404.0 juta unit bernilai RM75.57 juta minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 829.37 juta saham bernilai RM178.51 juta daripada 665.01 juta saham bernilai RM173.66 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 245.84 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (151.81 juta), pembinaan (90.87 juta), teknologi (220.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (19.91 juta), hartanah (107.88 juta), perladangan (21.98 juta), REIT (5.84 juta), dana/tertutup (12,000), tenaga (447.23 juta), penjagaan kesihatan (12.51 juta), telekomunikasi dan media (44.38 juta), pengangkutan dan logistik (42.99 juta) dan utiliti (13.59 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X