Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:57pm

Bursa Malaysia rendah akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran harga menurunnya pada akhir sesi dagangan pagi hari ini, diheret turun oleh tekanan jualan di kaunter wajaran tinggi, diketuai CIMB.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran kekal dalam kedudukan berhati-hati ekoran angka keluaran dalam negara kasar suku ketiga China yang lemah berbanding unjuran, selain ketidaktentuan berterusan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.40 mata kepada 1,568.75 berbanding 1,571.15 pada penutupan Jumaat.

Indeks penanda aras dibuka 2.37 mata lebih rendah pada 1,568.78 dan bergerak antara 1,566.95 dan 1,572.06 di sepanjang dagangan pagi.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 384 berbanding 323, manakala 335 kaunter tidak berubah, 975 tidak diniagakan manakala 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.38 bilion saham bernilai RM660.92 juta.

Seorang peniaga berkata momentum belian masih dilihat di kaunter berharga rendah, dengan pasaran secara menyeluruhnya disokong oleh penyertaan runcit.

CIMB mengetuai kaunter wajaran tinggi paling rugi, apabila sahamnya merosot empat sen kepada RM4.96, diikuti Sime Darby Plantation yang merosot lima sen kepada RM4.76, Digi turun empat sen kepada RM4.65, Hong Leong Bank susut 12 sen kepada RM16.88 manakala Genting merosot enam sen kepada RM5.64.

Bagi kaunter paling aktif, NetX susut setengah sen kepada dua sen, Bumi Armada dan MTAG menokok 2.5 sen kepada 47 sen dan 53.5 sen, manakala Sanichi dan PUC masing-masing kekal pada lima sen dan 5.5 sen.

Nestle muncul kaunter paling rugi, merosot 90 sen kepada RM143.30, F&N turun 78 sen kepada RM34.42, Aeon Credit turun 44 sen kepada RM15.96, Scientex turun 26 sen kepada RM9.24 dan Takaful susut 12 sen kepada RM6.17.

FBM 70 merosot 18.31 mata kepada 14,103.46, Indeks FBMT 100 turun 16.17 mata kepada 10,988.63 manakala FBM Ace menokok 77.12 mata kepada 4,860.36.

Indeks FBM Emas susut 13.51 mata kepada 11,176.23, dan Indeks FBM Emas Shariah turun 8.42 mata kepada 11,792.81.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 51.74 mata kepada 15,222.89, Indeks Perladangan turun 9.99 mata kepada 6,614.74 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.02 mata kepada 152.58.

-- BERNAMA

Berita Harian X