Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:29am

Wall Street catat penurunan mendadak

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup dengan mencatat penurunan mendadak dan berada di paras terendah harian, selepas berita bahawa AS mengenakan sekatan visa ke atas pegawai China.

Berita itu menenggelamkan ulasan Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell yang mencadangkan keterbukaan untuk memotong kadar faedah selanjutnya.

Saham mengurangkan penurunan susulan kenyataan Powell itu tetapi cepat menyongsang haluan untuk mencatat penyusutan lanjut pada sebelah petang selepas Jabatan Negara AS berkata ia sudah mengenakan sekatan visa ke atas pegawai kerajaan China dan pegawai Parti Komunis China yang percaya bertanggungjawab bagi penahanan atau penganiayaan minoriti Islam di wilayah Xinjiang.

Langkah itu menimbulkan ketegangan menjelang rundingan perdagangan peringkat tinggi di Washington minggu ini dan menambah kepada penurunan harga.

Terdahulu, kerajaan AS meluaskan senarai hitam dagangannya untuk memasukkan beberapa syarikat permulaan utama China yang terbabit dalam kecerdikan buatan.

"Pasaran turun kerana berita utama negatif menjelang rundingan AS-China. Dengan Powell tidak mengubah naratif, ia masuk akal bahawa tanda-tanda kemerosotan dalam perdagangan dan pasaran menyaksikan penjualan," kata Keith Lerner, ketua strategi pasaran di SunTrust Advisory Services di Atlanta.

Penyusutan meluas, diterajui penurunan dua peratus dalam indeks kewangan S&P 500 yang sensitif kadar faedah, sementara indeks Philadelphia Semiconductor jatuh 3.1 peratus.

Laporan Bloomberg mengatakan bahawa Washington sudah memulakan langkah mengehadkan aliran modal ke China, manakala laporan China Morning Post berkata, China telah merendahkan nadanya menjelang rundingan di Washington.

Dalam ucapannya, Powell juga berkata bahawa masa sduah tiba untuk membolehkan pegangan aset Rizab Persekutuan dikembangkan lagi, dan Rizab Persekutuan akan "segera mengumumkan langkah-langkah untuk menambah kepada bekalan rizab dari masa ke masa."

Dow Jones Industrial Average jatuh 313.98 mata atau 1.19 peratus kepada 26,164.04;

S&P 500 turun 45.73 mata atau 1.56 peratus kepada 2,893.06.

Nasdaq Composite turun 132.52 mata atau 1.67 peratus kepada 7,823.78.

Sejumlah 6.74 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.2 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X