Selasa, 8 Oktober 2019 | 7:37pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pengambilan untung sederhana memandangkan ketidaktentuan masih berterusan dalam rundingan perdagangan AS-China, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1920/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1910/1950 semalam.

Peniaga berkata dagangan secara umumnya lengang memandangkan kebanyakan pelabur tidak menyertai pasaran menjelang pembentangan Belanjawan 2020 Malaysia pada Jumaat ini malah mereka menunggu insentif daripada kerajaan untuk menyokong pasaran.

Selain itu, AS dan China dijadualkan menyambung semula rundingan perdagangan antara mereka pada Khamis di Washington D.C.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0381/0407 daripada 3.0337/0374 pada Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.6058/6107 daripada 4.5988/5040.

Ringgit bagaimanapun tinggi berbanding pound British kepada 5.1327/1380 daripada 5.1579/1636 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.9148/9187 daripada 3.9238/9286. - BERNAMA

Berita Harian X