Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:58pm

Bursa Malaysia bercampur-campur tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bertukar bercampur-campur pada tengah hari berikutan keadaan pasaran meluas yang masih tidak menentu dengan kebanyakan peserta pasaran mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga pembentangan Belanjawan 2020 akhir minggu ini, kata peniaga.

Pada 12.30 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.7 mata kepada 1,558.3 daripada 1,559.00 penutup Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.46 mata lebih baik pada 1,560.46 dan bergerak antara 1,556.58 dan 1,565.16 sepanjang sesi pagi.

Kaunter naik mengatasi turun sebanyak 324 berbanding 314 dengan 683 kaunter tidak berubah, manakala 682 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Sejumlah 1.43 bilion saham bertukar tangan bernilai RM741.24 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd, berkata buat sementara indeks utama akan terus turun naik, berlegar dalam jajaran 1,550 dan 1,570 kerana minat belian terus kekal tipis.

"Bagaimanapun, kami masih memikirkan keadaan pasaran secara keseluruhan akan terus lengang dengan ketiadaan pemangkin baharu," katanya dalam nota hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga meningkat empat sen kepada RM13.68, PBBank naik dua sen kepada RM19.36, manakala Maybank susut empat sen kepada RM8.43, IHH berkurangan tiga sen kepada RM5.63 dan PChem turun tujuh sen kepada RM7.13.

Antara yang paling aktif, Priceworth, VSolar dan Sanichi meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada enam sen, enam sen dan 29 sen, manakala Sumatec dan MNC Wireless turun setengah sen setiap satu masing-masing kepada satu sen dan tiga sen. - BERNAMA

Berita Harian X