Jumaat, 13 September 2019 | 11:52am

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi semasa awal dagangan hari ini, menjejaki prestasi semalaman positif pasaran ekuiti Amerika Syarikat, memandangkan pelabur menyambut baik langkah European Central Bank (ECB) untuk memperkenalkan rangsangan baharu.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.69 mata kepada 1,602.69 daripada 1,601.0 ketika ditutup pada Khamis.

Ketika pasaran dibuka, barometer pasaran itu mencatatkan 0.31 mata lebih rendah pada 1,600.69.

Semalam, ECB mengurangkan kadar deposit utamanya sebanyak 10 mata asas kepada -0.5 peratus dan memperkenalkan program pembelian bon baharu, yang akan melibatkan pembelian aset bernilai 20 bilion euro sebulan selagi ia dianggap perlu.

Di peringkat tempatan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata dorongan lebih kukuh diperlukan untuk memastikan aliran menaik yang mampan memandangkan peningkatan baru-baru ini telah memperoleh sedikit sokongan, menyebabkan indeks utama bergerak dalam jajaran kecil iaitu antara paras 1,590 dan 1,610.

“Walaupun kami berpandangan indeks utama boleh memperoleh semula sebahagian asas pergerakan kukuh untuk mengakhiri dagangan minggu ini, namun kami masih berpendapat keadaan asas pasaran masih tidak begitu baik dan ini juga bermakna kenaikan jangka terdekat akan terhad,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Di samping itu, kebanyakan peserta pasaran masih tidak yakin dengan hala tuju pasaran, menyebabkan mereka tidak memasuki pasaran malah penyertaan keseluruhannya kecil.

Mendahului senarai saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.93, Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM7.56, Tenaga menokok empat sen pada RM13.48 dan CIMB meningkat dua sen kepada RM5.02.

Antara saham aktif, Green Packet dan Bumi Armada masing-masing tidak berubah pada 25.5 sen dan 27.5 sen.

Vsolar meningkat setengah sen kepada 11 sen dan I-Stone menokok satu sen kepada 18.5 sen.

Indeks FBM Emas menambah 12.99 mata kepada 11,296.06, Indeks FBMT100 meningkat 13.00 mata kepada 11,130.88 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 5.16 mata kepada 11,811.57.

FBM Ace meokok 2.69 mata kepada 4,531.48 dan FBM 70 berkembang 21.63 mata kepada 13,894.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 38.37 mata kepada 15,588.76, Indeks Perladangan naik 4.05 mata kepada 6,806.36 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.44 mata kepada 153.33.

Terdapat 116 kaunter untung, 75 kaunter rugi di Bursa Malaysia, sementara 177 kaunter kekal tidak berubah, 1,611 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 152.89 juta unit bernilai RM48.19 juta.

– BERNAMA

Berita Harian X