Selasa, 10 September 2019 | 9:28pm

Ringgit kekal tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum meningkat minggu lepas untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan sentimen terhadap mata wang negara maju tersebut kekal lemah berikutan kemelut perdagangan AS-China telah mendorong minat risiko kepada unit tempatan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1700/1730 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1830 yang dicatatkan Jumaat minggu lalu.

Peniaga berkata sentimen risiko global menjadi semakin baik selepas AS dan China mengatakan mereka akan memulakan semula rundingan perdagangan bulan depan.

Keyakinan yang semakin bertambah juga menggalakkan penanda aras hasil Perbendaharaan AS mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu susulan langkah pelabur meneroka aset lebih berisiko, katanya kepada Bernama hari ini.

“Pelabur mengumpulkan pegangan mereka bagi aset AS sebagai pelaburan selamat, malah pada masa sama ia turut meningkatkan permintaan terhadap mata wang lain.

“Data eksport Malaysia baru-baru ini, yang mencatatkan peningkatan semula pada Julai,turut menyokong sentimen di peringkat tempatan,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0224/0254 daripada 3.0221/0261 pada Jumaat lepas dan lemah berbanding pound British kepada 5.1387/1432 daripada 5.1385/1463.

Ringgit bagaimanapun naik berbanding yen Jepun kepada 3.8852/8891 daripada 3.9050/9101 minggu lepas dan tinggi berbanding euro kepada 4.6062/6099 daripada 4.6079/6147.

Euro mengalami tekanan menjelang mesyuarat European Central Bank (ECB) pada Khamis, apabila bank pusat itu dijangka melaksanakan pakej rangsangan monetari tambahan berikutan ketidakstabilan pertumbuhan ekonomi.

Kadar penanda aras ECB buat masa ini berada pada -0.40 peratus dan penganalisis pasaran menjangkakan bank tersebut memutuskan pengurangan kadar itu sebanyak 20 mata asas semasa mesyuarat berkenaan.

Pasaran tempatan ditutup pada Isnin susulan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - BERNAMA

502 dibaca
Berita Harian X