Selasa, 10 September 2019 | 10:41am
Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dalam jajaran ketat seiring dengan prestasi di Wall Street. - Fot hiasan

Perang dagang, Brexit jejas pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dalam jajaran ketat seiring dengan prestasi di Wall Street.

Pada jam 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.33 mata kepada 1,595,14 daripada 1,604.47 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka rendah turun 13.64 kepada 1,590.83.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 163 berbanding 110, manakala 166 kaunter tidak berubah, 1,507 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 152.57 juta saham bernilai RM114.46 juta.

Public Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata S&P 500 Wall Street ditutup rendah manakala Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan penjualan bon susulan penutupan bercampur-campur di Eropah apabila para pelabur memberi reaksi kepada petanda langkah-langkah rangsangan di ekonomi-ekonomi utama selain perkembangan terbaharu Brexit.

“Penjualan bon Perbendaharaan AS berlaku apabila pelabur menjangkakan penurunan lagi kadar selepas pengerusi Rizab Persekutuan AS Jay Powell mengulangi pada Jumaat bahawa bank pusat AS itu akan “mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengekalkan pengembangan”.

“Kenyataan beliau itu adalah susulan daripada data pekerjaan AS yang mencatatkan penurunan terendah dalam tempoh tiga bulan pada Ogos. Para pelabur telahpun menjangkakan penurunan kadar 25 mata asas bagi bulan ini,” kata bank pelaburan itu.

Public Investment Bank berkata para pelabur juga memantau dengan rapat perkembangan terkini perdagangan dengan AS dan China bersetuju untuk menyambung semula rundingan bersemuka pada bulan depan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Axiata dan Digi turun 70 sen dan 41 sen masing-masing kepada RM4.18 dan RM4.48 berikutan sebut harga semula.

Bursa Malaysia Securities melarang sebarang janji niaga perniagaan langsung (DBT) melibatkan Axiata dan Digi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi kerana ia ingin mendapatkan sebut harga semula selepas penggantungan saham mereka pada Jumaat lepas.

Axiata dan Digi pada Jumaat membatalkan cadangan perbincangan penggabungan mereka berikutan beberapa kesulitan yang melibatkan cadangan tersebut.

Juga, saham Petronas Dagangan dilarang daripada melakukan DBT semasa tempoh (urusan korporat) dengan sahamnya turun 74 sen kepada RM21.70.

Sementara itu, Petronas Chemical turun empat sen kepada RM6.96 manakala Sime Darby Plantation susut tiga sen kepada RM4.84.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Sapura Energy meningkat 1.5 sen kepada 28.5 sen, Bumi Armada naik setengah sen kepada 11.5 sen dan Sealink menokok dua sen kepada 35.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 44.27 mata kepada 11,236.85, Indeks FBM Emas Shariah susut 102.48 mata kepada 11,723.81 manakala FBM Ace naik 3.05 mata kepada 4,460.43.

Indeks FBMT 100 berkurangan 45.96 mata kepada 11,074.70 dan FBM 70 naik 20.39 mata kepada 13,808.84.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 13.66 mata kepada 6,820.60, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 72.04 mata kepada 15,551.21 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.43 mata kepada 148.69. - BERNAMA

Berita Harian X