Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:19pm

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup paras paras tertinggi harian, disokong belian institusi di kaunter wajaran tinggi tepilih, terutama kaunter berkaitan kerajaan pada saat-saat akhir.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup 0.42 peratus atau 6.86 mata lebih tinggi pada 1,609.33, selepas didagangkan antara paras terbabit dan paras terendah 1,594.59.

Indeks dibuka 6.70 mata lebih rendah pada 1,595.77.

Indeks meningkat daripada 1,603.62 pada 4.50 petang kepada 1,609.33, sekali gus ditutup pada paras tertingginya hari ini.

Kedudukan pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 400 berbanding 381, manakala 397 kaunter tidak berubah, 780 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.01 bilion unit bernilai RM1.74 bilion berbanding 2.04 bilion unit bernilai RM1.75 bilion semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bursa tempatan tidak banyak berubah hari ini susulan kedudukan pasaran yang kurang bermaya, sementara menunggu arah tuju pasaran selanjutnya.

"Nampaknya 1600 mata kekal sebagai tahap psikologi, dan ia kekal kukuh pada paras itu, disokong oleh dana institusi tempatan.

"Pada masa ini, pelabur terutama pelabur runcit, berhati-hati terhadap persekitaran luaran memandangkan terdapat petunjuk jelas mengenai kelembapan ekonomi dunia," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerajaan kini melaksanakan pengurusan permintaan bagi membantu mengembangkan ekonomi.

"Walaupun intervensi itu disambut baik, pasaran sangat berhati-hati terutama berkaitan perang perdagangan yang masih tidak menentu. Pada ketika ini, bank pusat mungkin menurunkan kadar faedah kali kedua,” katanya.

Di bursa tempatan, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM13.76, IHH, CIMB Group masing-masing menambah satu sen kepada RM5.68 dan RM5.07, Maybank meningkat lapan sen kepada RM8.64 manakala Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM7.22 .

Bagi saham aktif, Ekovest meningkat empat sen kepada 84.5 sen, Iskandar Waterfront melonjak lapan sen kepada 95 sen, AirAsiaX turun satu sen kepada 18.5 sen manakala Dayang Enterprise turun tiga sen kepada RM1.49.

FBM Ace merosot 94.01 mata kepada 4,553.63, FBM 70 menokok 44.50 mata kepada 14,180.45, Indeks FBM Emas menambah 47.36 mata kepada 11,386.15,

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 54.24 mata kepada 11,924.19 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 44.84 mata kepada 11,219.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 67.22 mata kepada 15,655.33, Indeks Perladangan naik 69.04 mata kepada 6,841.69, dan Indeks

Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.18 mata kepada 150.57.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.38 bilion unit bernilai RM1.60 bilion daripada 1.31 bilion unit bernilai RM1.60 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 369.33 juta unit bernilai RM82.98 juta daripada 404.69 juta unit bernilai RM95.73 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 354.58 juta unit bernilai RM54.87 juta daripada 317.62 juta unit bernilai RM55.75 juta semalam.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 247.14 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (163.94 juta), pembinaan (253.59 juta), teknologi (122.17 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.88 juta) 168.03 juta), perladangan (15.29 juta), REIT (10.82 juta), tertutup/dana (sifar), tenaga (187.54 juta), penjagaan kesihatan (21.57 juta), telekomunikasi dan media (111.80 juta) , dan utiliti (19.55 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X