Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:17pm
- Gambar hiasan

Bursa Korea catat prestasi terburuk, Malaysia pulih

KUALA LUMPUR: Pasaran saham Korea Selatan muncul sebagai bursa yang mencatat kemerosotan terburuk dalam kalangan pasaran serantau, mengatasi Malaysia yang pulih sedikit sejak kebelakangan ini.

Kebimbangan perang perdagangan antara negara itu dengan Jepun, serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjejaskan tinjauan pendapatan bagi saham di negara itu.

Berdasarkan perangkaan Bloomberg menunjukkan indeks penanda aras pasaran saham Korea Selatan, KOSPI mencatatkan penurunan 6.43 peratus setakat ini bagi 2019, sekali gus menjadikannya pasaran yang mencatatkan prestasi terburuk berbanding pasaran lain dalam rantau Asia.

Kemerosotan yang dicatatkan pasaran saham Malaysia pula bagaimanapun pulih sedikit dengan Indeks FBM KLCI mencatatkan pengurangan 5.08 peratus.

Penganalisis berkata, indeks KOSPI mencatatkan pergerakan turun-naik tidak menentu semalam berikutan kejatuhan indeks S&P 500 selepas penetapan harian yuan oleh Bank Pusat China lebih lemah daripada dijangkakan.

Berdasarkan perangkaan Bloomberg juga memperlihatkan indeks penanda aras pasaran saham Jepun, Indeks Nikkei 225 meningkat 2.51 peratus setakat ini tahun ini, Indeks Hang Seng naik 0.59 peratus dan Indeks Straits Times meningkat 3.84 peratus.

Pada penutup dagangan hari ini, Indeks KOSPI jatuh 7.79 mata atau 0.41 peratus kepada 1,909.71 mata, sementara Indeks FBM KLCI mengakhiri dagangan 7.09 mata atau 0.44 peratus lebih rendah kepada 1,604.70.

Pasaran serantau lain, Tokyo ditutup rendah 0.3 peratus dan Shanghai juga menyusut 0.3 peratus.

Pasaran ekuiti mencatatkan kejatuhan pada Isnin selepas Beijing membenarkan yuan jatuh mendadak berbanding dolar AS berikutan pengumuman Presiden AS, Donald Trump bahawa beliau akan mengenakan tarif 10 peratus kepada AS$300 bilion lagi barangan China bermula 1 September ini.

Mata wang yuan China menyusut melangkaui paras 7.0 berbanding satu dolar AS pada Isnin.

Bagaimanapun, langkah Beijing menstabilkan yuan membantu mengurangkan kebimbangan perang mata wang meskipun Washington menggelar China sebagai manipulator mata wang.

Berita Harian X