Selasa, 23 Julai 2019 | 6:37pm
Pada penutup dagangan hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) hampir tidak berubah. - Arkib NSTP

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Jangkaan kelonggaran monetari oleh bank pusat seperti Bank Pusat Eropah (ECB) dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) melonjakkan kebanyakan pasaran ekuiti, termasuk Bursa Malaysia.

Pada penutup dagangan hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) hampir tidak berubah, selepas pulih daripada penurunan sebelumnya, untuk ditutup 0.27 mata lebih tinggi atau naik 0.016 peratus kepada 1,655.67 daripada paras penutup 1,655.40 pada Isnin.

Kaunter untung utama dalam kalangan saham wajaran tinggi dan saham mewah termasuklah Sime Darby Plantation, yang meningkat 12 sen kepada RM4.78, Genting Malaysia (+9.0 sen kepada RM3.45), Tenaga (+8.0 sen kepada RM13.82) dan Axiata naik tiga sen kepada RM5.13.

Kaunter ini menyumbang gabungan 3.65 mata kepada indeks komposit.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.67 mata lebih rendah kepada 1,654.73 dan bergerak antara paras 1,654.02 dan 1,658.35 sepanjang hari dagangan.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 462 berbanding 369, manakala 386 kaunter tidak berubah, 671 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.77 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 2.65 bilion unit bernilai RM1.54 bilion pada Isnin.

Peniaga berkata, walaupun jangkaan penurunan kadar faedah oleh ECB dan Fed telahpun diambil kira oleh kebanyakan pasaran ekuiti, sentimen positif masih memainkan peranan.

“Fed dijangka mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 25 atau 50 mata asas bagi kali pertama sejak 2008 semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan selama dua hari yang bermula 30 Julai, manakala ECB menyatakan ia akan mengurangkan kadarnya sebanyak 10 mata asas pada Khamis ini.

“Kami melihat pelabur memberikan reaksi baik kepada keputusan ini,” kata peniaga itu.

Beliau berkata, harga minyak mentah tinggi susulan peningkatan ketegangan di Timur Tengah juga akan memberi sokongan kepada pasaran.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.47 peratus kepada 3,373.13, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.34 peratus kepada 28,466.48 manakala Nikkei 225 Jepun menokok 0.95 peratus kepada 21,620.88.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank tidak berubah pada RM8.82, Public Bank susut lapan sen kepada RM22.80 dan PChem turun satu sen kepada RM7.69.

Dalam kalangan kaunter cergas, Netx dan KNM kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 36.5 sen, manakala Excel Force meningkat lima sen kepada 70.5 sen.

Indeks FBM Emas menokok 5.21 mata kepada 11,775.65, Indeks FBMT 100 naik 1.69 mata kepada 11,599.13 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 10.13 mata kepada 12,167.29.

FBM 70 meningkat 1.32 mata kepada 14,893.27 dan FBM Ace naik sebanyak 46.84 mata kepada 4,750.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 29.31 mata kepada 16,504.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.35 mata kepada 155.80 tetapi Indeks Perladangan naik 24.61 mata kepada 6,809.45.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.82 bilion saham bernilai RM1.83 bilion daripada 1.67 bilion saham bernilai RM1.36 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turun kepada 410.86 juta unit bernilai RM84.42 juta berbanding 451.21 juta unit bernilai RM89.17 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menambah kepada 536.22 juta saham bernilai RM97 juta daripada 525.33 juta saham bernilai RM91.17 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang bagi 239.17 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (169.21 juta), pembinaan (145.40 juta), teknologi (316.04 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (36.42 juta), hartanah (85.11 juta), perladangan (15.74 juta), REITs (9.89 juta), dana tertutup (1,800), tenaga (496.39 juta), penjagaan kesihatan (15.04 juta), telekomunikasi dan media (224.76 juta), pengangkutan dan logistik (53.20 juta) dan utiliti (14.48 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X