Selasa, 9 Julai 2019 | 10:13am

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, berikutan pelabur menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) menjelang mesyuarat dasar monetari hari ini, kata peniaga.

Pada jam 9.13 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.65 mata kepada 1,681.29 daripada 1,677.64, ketika ditutup pada Isnin.

Ketika urus niaga dibuka, indeks naik 1.51 mata kepada 1,679.15.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 124 berbanding 103, manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,410 tidak diniagakan dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 194.11 juta unit bernilai RM61.46 juta.

Penganalisis kanan pasaran OANDA, Alfonso Esparza berkata Malaysia dijangka mengekalkan OPR apabila BNM bermesyuarat pada Selasa.

Sementara itu, prestasi FBM KLCI tidak menjejaki prestasi semalaman yang lemah di Wall Street.

Purata Perindustrian Dow Jones dan S&P 500 masing-masing turun 0.4 peratus dan 0.5 peratus manakala Komposit Nasdaq susut 0.8 peratus.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Axiata meningkat tiga sen kepada RM8.95 dan RM5.18, CIMB menokok satu sen kepada RM5.39, Tenaga naik lapan sen kepada RM13.90, dan Public Bank naik empat sen kepada RM23.02.

Bagi saham aktif, Mestron, Datasonic dan Sumatec Resources masing-masing naik setengah sen kepada 14.5 sen, 24.5 sen dan 74 sen manakala Daya Materials dan APFT masing-masing kekal pada satu sen dan dua sen dan Ekovest turun setengah sen kepada 80 sen.

Indeks FBM Emas naik 21.77 mata kepada 11,889.18 dan Indeks FBMT 100 meningkat 21.64 mata kepada 11,726.06.

Indeks FBM Emas Shariah naik 21.42 mata kepada 12,255.32, FBM 70 melonjak 11.79 mata kepada 14,843.13 dan FBM Ace meningkat 0.16 mata kepada 4,582.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 33.77 mata kepada 16,790.44, Indeks Perladangan menokok 2.82 mata kepada 6,947.99, manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian turun 0.13 mata kepada 161.92.

-- BERNAMA

Berita Harian X