Khamis, 27 Jun 2019 | 7:32pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dalam dagangan suram dengan saham wajaran tinggi dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan mengheret FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ke paras lebih rendah sebanyak 1.79 mata kepada 1,672.70 semasa urus niaga ditutup.

Indeks dibuka 3.76 mata lebih rendah pada 1,670.73 berbanding 1,674.49 semasa urus niaga ditutup pada Rabu.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 366 berbanding 352, dengan 445 kaunter tidak berubah, 742 tidak didagangkan dan 103 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 1.84 bilion unit bernilai RM1.9 bilion berbanding 1.83 bilion unit bernilai RM1.55 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew berkata pasaran lengang menjelang penutup pertengahan tahun.

Beliau berkata jumlah kecil ketika ini menunjukkan pelabur institusi dan runcit kebanyakannya kekal tidak memasuki pasaran.

Pong berkata pelabur runcit dalam pasaran juga dilihat cuba mengelak pasaran saham yang turun naik ketika ini berikutan kekurangan berita yang menggerakkan pasaran dalam negara.

“Juga tiada langkah untuk merangsang dagangan yang ketara seperti mana yang dilakukan sebelum ini dan kita melihat tiada perubahan besar dalam pasaran. Saya boleh katakan usaha untuk merangsang dagangan hampir tiada.

“Mungkin petang esok kita akan menyaksikan dagangan ditutup lebih baik apabila pengurus dana cuba merangsang dagangan pada saat-saat akhir,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis berkata prestasi bursa tempatan sedikit sebanyak adalah selari dengan bursa serantau, berikutan pasaran memberi tindak balas positif terhadap berita bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China buat sementara waktu ini bersetuju untuk berdamai menjelang pertemuan mereka pada sidang kemuncak G20 selama dua hari di Jepun bermula esok.

Penganalisis berkata, pemain pasaran sedang memantau perkembangan terkini perbincangan perdagangan itu, berharap kedua-dua negara akan dapat menyelesaikan pertikaian itu, yang memberi kesan terhadap pasaran global.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Gas turun 40 sen kepada RM17.10, Tenaga susut 10 sen kepada RM13.68, manakala Maybank dan CIMB masing-masing jatuh tiga sen pada RM8.89 dan RM5.35.

PetChem dan KLK jatuh empat sen kepada RM8.38 dan RM24.54, manakala Genting Malaysia tidak berubah pada RM3.20 dan PPB susut dua sen kepada RM18.56.

Bagi saham aktif, Sapura Energy turun dua sen pada 29.5 sen, Mestron yang baru tersenarai menokok dua sen kepada 15.5 sen dan Lambo tidak berubah pada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 2.45 mata kepada 11,790.20, Indeks FBMT 100 susut 3.86 mata pada 11,642.87 dan Indeks Syariah FBM Emas naik 4.62 mata kepada 12,131.24.

FBM 70 meningkat 29.95 mata kepada 14,643.25 sementara FBM Ace turun 12.88 mata kepada 4,442.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 23.37 mata kepada 16,709.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.70 mata kepada 160.70 manakala Indeks Perladangan jatuh 6.70 mata kepada 6,966.28.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 1.13 bilion saham bernilai RM1.75 bilion daripada 1.10 bilion saham bernilai RM1.38 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 386.05 juta unit bernilai RM79.96 juta daripada 424.78 juta unit bernilai RM91.33 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 313.96 juta saham bernilai RM65.22 juta daripada 303.02 juta saham bernilai RM70.16 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 228.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (121.19 juta), pembinaan (89.04 juta), teknologi (98.51 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.01 juta), hartanah (94.48 juta), perladangan (14.88 juta), REITs (14.58 juta),dana tertutup (sifar), tenaga (289.33 juta), penjagaan kesihatan (28.58 juta), telekomunikasi dan media (40.22 juta), pengangkutan dan logistik (28.53 juta) dan utiliti (25.71 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X