Selasa, 4 Jun 2019 | 7:47am
Pasaran saham di Bursa Saham New York. - Foto REUTERS

Facebook, Alphabet, Amazon seret turun Nasdaq

NEW YORK: Nasdaq turun 1.6 peratus Isnin, mengesahkan berlakunya pembetulan dengan mana ia diseret turun oleh Alphabet, Facebook dan Amazon.com disebabkan kebimbangan syarikat-syarikat itu menjadi sasaran pengawal selia antimonopoli kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Manakala penjualan dalam syarikat internet berwajaran tinggi penyumbang kepada penyusutan terbesar di Nasdaq, indeks itu sebenarnya semakin menurun sejak mencatat rekod penutup tertinggi pada 3 Mei berikutan pelabur bimbang berhubung pertumbuhan global yang perlahan di tengah-tengah perang perdagangan AS-China yang semakin meruncing.

S&P 500 mengalami sesi yang tidak menentu dan mengakhiri dagangan 0.3 peratus lebih rendah, tetapi Dow Jones Industrial Average mengakhiri sesi hampir tidak berubah.

Dow Jones Industrial Average menokok 4.74 mata atau 0.02 peratus untuk ditutup pada 24,819.78.

S&P 500 turun 7.61 mata atau 0.28 peratus kepada 2,744.45.

Nasdaq Composite jatuh 120.13 mata atau 1.61 peratus kepada 7,333.02 yang adalah 10.2 peratus lebih rendah daripada penutup 3 Mei.

Pembetulan ditakrifkan sebagai penurunan 10 peratus daripada paras tertinggi 52 minggu sebelumnya.

Saham internet berprofil tinggi menguasai dagangan, dengan Facebook Inc ditutup 7.5 peratus lebih rendah selepas Wall Street Journal melaporkan bahawa Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) memperoleh hak untuk memeriksa bagaimana amalan syarikat media sosial mempengaruhi persaingan digital. Saham syarikat itu bergerak pantas untuk mencatat kejatuhan harian terbesar sejak 26 Julai.

Alphabet Inc jatuh enam peratus selepas sumber memberitahu Reuters bahawa Jabatan Keadilan AS sedang membuat penyiasatan untuk menentukan sama ada syarikat induk Google itu melanggar undang-undang antimonopoli.

Amazon.com susut 4.6 peratus susulan laporan bahawa gergasi e-dagang itu boleh diletakkan di bawah pengawasan FTC.

Sektor komunikasi yang meliputi Google dan Facebook, ditutup 2.8 peratus lebih rendah, kejatuhan terbesar dalam kalngan 11 sektor utama S&P.

Sejumlah 8.34 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.11 bilion purata 20 sesi dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X