Selasa, 7 Mei 2019 | 1:37pm

Bursa Malaysia akhiri sesi pagi lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tinggi pada akhir sesi pagi, susulan minat belian berterusan, diketuai Axiata dan DiGi, yang kini berbincang mengenai potensi penggabungan.

Axiata melonjak 56 sen kepada RM4.60, manakala DiGi naik 42 sen kepada RM4.94. Kedua-duanya menyumbang 14.54 mata kepada indeks komposit.

Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.48 mata kepada 1,641.28 berbanding 1,632.80 pada penutupan Isnin. Indeks penanda aras dibuka 6.03 mata lebih rendah pada 1,626.77.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 451 berbanding 255, manakala 331 kaunter tidak berubah, 869 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.72 bilion saham bernilai RM1.02 bilion.

Semalam, Axiata Group Bhd mengumumkan ia sedang dalam perbincangan dengan Telenor Group Norway, untuk mewujudkan entiti global baharu dengan menggabungkan operasi Asia masing-masing.

Telenor Group memegang 49 peratus kepentingan dalam Digi.Com Bhd.

Penggabungan ini bertujuan untuk mewujudkan juara global baharu yang beribu pejabat di Malaysia.

"Ketika ekuiti Asia didagangkan bercampur-campur susulan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang kembali tegang, bursa tempatan memperoleh rangsangan menerusi penggabungan mega ini," kata seorang peniaga.

Public Investment Bank Bhd pula berkata ia yakin penggabungan ini positif kepada DiGi ketika ini memandangkan ia akan memperoleh Celcom dan menjadi pemain mudah alih terbesar di Malaysia.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.01, Petronas Chemicals menambah sembilan sen kepada RM8.89, manakala Public Bank susut lapan sen kepada RM22.48 dan Tenaga turun empat sen kepada RM12.18.

Bagi kalangan saham aktif, Bumi Armada meningkat satu sen kepada 22 sen, Lambo tidak berubah pada sembilan sen, Ekovest susut setengah sen kepada 90.5 sen dan Sapura Energy turun setengah sen kepada 32.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 53.82 mata kepada 11,595.99, Indeks FBMT 100 menokok 53.19 mata kepada 11,429.37 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 148.47 mata kepada 11,833.33.

FBM 70 meningkat 43.24 mata kepada 14,395.55 dan FBM Ace menambah 78.52 mata kepada 4,589.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 171.77 mata kepada 16,711.89, Indeks Perladangan menambah 1.58 mata kepada 7,203.94 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.74 mata kepada 167.86.

-- BERNAMA

Berita Harian X