Isnin, 6 Mei 2019 | 6:43pm
Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.5 mata kepada 1,632.80 berbanding 1,637.30 pada penutupan Jumaat. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Amaran Presiden Donald Trump untuk menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion minggu lalu bagi menyegerakan penyelesaian rundingan perdagangan, mengheret turun saham Asia, termasuk Bursa Malaysia, pada penutupan Isnin.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.5 mata kepada 1,632.80 berbanding 1,637.30 pada penutupan Jumaat.

Selepas dibuka 5.26 mata lebih rendah pada 1,632.04, indeks penanda aras bergerak antara 1,623.61 dan 1,633.66 di sepanjang dagangan.

Berdasarkan kedudukan secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 790 berbanding 150 manakala 324 kaunter tidak berubah, 641 tidak diniagakan manakala 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.79 bilion saham bernilai RM1.70 bilion berbanding 2.82 bilion saham bernilai RM2.11 bilion pada Jumaat.

Hang seng Hong Kong susut 2.90 peratus kepada 29,209.82, Nikkei 225 Jepun turun 0.22 peratus kepada 22,258.73, Indeks Komposit Jakarta merosot 0.99 peratus kepada 6,256.65 dan Indeks Straits Times Singapura turun 2.98 peratus kepada 6,256.65.

“Trump yang menggelar dirinya sebagai ‘Tariff Man’, memberi amaran untuk menaikkan tarif ke atas barangan bernilai US$200 bilion kepada 25 peratus berbanding 10 peratus, dengan mendakwa kemajuan rundingan perdagangan itu, yang sudah berlarutan, kini berjalan dengan pelahan.

“Akibatnya, China sedang menimbang untuk membatalkan rundingan, yang dijadualkan berlangsung minggu ini,” kata seorang peniaga.

Tahun lalu, Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi, Jinping bersetuju dengan berdamai untuk meningkatkan pasaran saham.

Dua ekonomi terbesar di dunia mengenakan tarif bernilai AS$360 bilion dalam perdagangan dua hala sejak 2018.

"Pasaran berada dalam keadaan buntu, oleh itu kami menjangkakan dagangan berada dalam momentum berhati-hati minggu ini," katanya.

Dalam negara, penyedia telekomunikasi, Axiata Group Bhd dan DiGi.Com Bhd menjadi tumpuan pada Isnin berikutan cadangan penggabungan antara Axiata Group Bhd dan Telenor ASA yang berpangkalan di Norway bagi mewujudkan juara baharu global, dengan perbincangan untuk menggabungkan operasi Asia mereka di bawah entiti baharu, MergedCo.

Telenor menguasai 49 peratus kepentingan dalam Digi.com.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dalam suku ketiga 2019, dengan Telenor menjadi pemegang saham majoriti MergedCo sebanyak 56.5 peratus kepentingan, manakala Axiata memegang baki 43.5 peratus.

Penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.Com Bhd akan menjadikannya entiti baharu sebagai operator mudah alih terbesar di Malaysia.

Minggu ini, para pelabur juga akan menumpukan pada penyiaran angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2019 (Q1 2019) pada 16 Mei dan pengumuman dasar monetari Bank Negara Malaysia pada 7 Mei.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.30, Public Bank meningkat dua sen kepada RM22.56, Petronas Chemicals turun 15 sen kepada RM8.80 manakala Axiata dan Digi masing-masing kekal pada RM4.04 dan RM4.52.

Dagangan saham Axiata dan DiGi digantung dari 9 pagi hingga 5 petang hari ini susulan pengumuman penggabungan itu. Saham-saham dua syarikat berkenaan akan kembali diurus niaga pada 9 pagi esok.

Bagi saham aktif, Ekovest susut 4.5 sen kepada 91 sen, Sapura Energy turun 1.5 sen kepada 32 sen, sementara Lambo dan Priceworth masing-masing susut setengah sen kepada tujuh sen dan sembilan sen.

Indeks FBM Emas adalah 69.59 mata lebih rendah pada 11,542.17, FBMT 100 turun 55.78 mata kepada 11,376.18 dan FBM 70 menyusut 169.08 mata kepada 14,352.31.

Indeks FBM Emas Shariah turun 94.91 mata pada 11,684.86 dan Indeks FBM Ace turun 134.72 mata kepada 4,511.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 49.27 mata pada 16,883.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.22 mata kepada 167.12 manakala Indeks Perladangan meningkat 0.49 mata kepada 7,202.36.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.89 bilion saham bernilai RM1.52 bilion berbanding 2.02 bilion saham bernilai RM1.96 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 568.18 juta unit bernilai RM132.91 juta berbanding 404.02 juta unit bernilai RM91.14 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 324.63 juta saham bernilai RM52.67 juta berbanding 382.70 juta saham bernilai RM55.54 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 182.89 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (423.99 juta), pembinaan (445.74 juta), teknologi (106.51 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (32.90 juta) 177.28 juta), perladangan (21.79 juta), REIT (12.48 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (414.88 juta), penjagaan kesihatan (17.39 juta), telekomunikasi dan media (16.57 juta) serta utiliti (21.42 juta)

-BERNAMA

Berita Harian X