Jumaat, 26 April 2019 | 1:04pm

Kenaikan ketara harga saham G3, Bursa Malaysia kemuka pertanyaan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengemukakan pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) kepada G3 Global Bhd, susulan kenaikan ketara harga saham syarikat itu.

Pada 12.09 tengah hari, saham syarikat itu naik 15 sen kepada RM1.54, dengan 1.53 juta saham diniagakan.

“Pelabur dinasihatkan untuk mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat berhubung pertanyaan berkenaan, yang akan dipaparkan di laman webnya di bawah pengumuman syarikat, apabila mereka membuat keputusan pelaburan,” kata Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian semalam melaporkan kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Forum Belt and Road (BRI) di Beijing minggu ini berkemungkinan bakal menyaksikan pemeteraian perjanjian mega pembinaan hab taman kepintaran buatan (AI) pertama Malaysia bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.13 bilion).

Ia berdasarkan jadual rasmi lawatan kerja lima hari Perdana Menteri itu yang mana turut menyenaraikan kunjungan beliau di beberapa syarikat berteknologi tinggi termasuk firma teknologi kepintaran buatan (AI) terkemuka China, SenseTime Private Ltd.

Projek pembinaan hab AI pertama Malaysia sebelum ini diumumkan G3 Global Bhd dan SenseTime yang merancang membinanya dengan kerjasama China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC) iaitu anak syarikat kontraktor China Communications Construction Company (CCCC).

Berita Harian X