Rabu, 10 April 2019 | 7:55pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah buat hari kedua berturut-turut hari ini susulan jualan saham wajaran tinggi, bagi mengelak risiko, disebabkan oleh faktor luaran.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.48 mata kepada 1,639.46 daripada 1,641.94 semalam, ekoran kerugian dalam saham-saham PetChem, Axiata, Malaysia Airports dan Maybank.

Indeks yang dibuka 0.11 mata lebih rendah pada 1,641.83, turun naik antara 1,635.89 dan 1,642.13 di sepanjang dagangan hari ini.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 441 berbanding 371, manakala 417 kaunter tidak berubah, 640 tidak diniagakan dan 21 lagi digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.34 bilion unit bernilai RM2.36 bilion berbanding 3.47 bilion unit bernilai RM2.37 bilion yang direkodkan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran serantau juga kebanyakannya rendah hari ini.

“Faktor luaran terus mendominasi sentimen pasaran. Tindakan terbaru Presiden Donald Trump terhadap Eropah dalam bentuk tarif ke atas import bernilai AS$11 bilion, menunjukkan perang perdagangan masih belum dapat diselesaikan.

“Ini berlaku walaupun wujud perbincangan konstruktir antara Amerika Syarikat (AS) dan China baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu,semakan menurun dalam unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga menjejaskan pasaran.

IMF menurunkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dunia pada 2019 kepada 3.3 peratus berbanding unjuran sebelumnya pada 3.5 peratus yang diunjurkan pada Januari tahun ini.

“Ketegangan perdagangan semasa jelas merupakan faktor risiko utama selain rundingan Brexit yang belum pasti.

“Oleh itu, pengelakan risiko akan berlaku dalam tempoh terdekat,” kata Mohd Afzanizam.

Antara kaunter wajaran tinggi, PetChem susut 10 sen kepada RM9.00, Axiata turun empat sen kepada RM4.15, Malaysia Airports turun 19 sen kepada RM6.75 manakala Maybank merosot dua sen kepada RM9.28.

Public Bank menokok enam sen kepada RM22.64 dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM5.60.

Antara kaunter aktif, syarikat pembinaan, Ekovest meningkat sembilan sen kepada 64.5 sen dan Iskandar Waterfront meningkat 15.5 sen kepada RM1.01 susulan kemungkinan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia sedang mengkaji cadangan mengurangkan kos projek.

Sementara itu, Sapura Energy tidak berubah pada 34 sen dan Karex menokok enam sen kepada 53 sen.

Indeks FBM Emas merosot 5.01 mata kepada 11,635.04, FBMT 100 turun 13.39 mata kepada 11,457.14 dan FBM 70 susut 1.31 mata kepada 14,594.21.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.21 mata kepada 11,861.09 dan Indeks FBM Ace meningkat 20.79 mata kepada 4,802.02.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.37 mata kepada 169.96, Indeks Perladangan meningkat 10.66 mata kepada 7,297.00, manakala Indeks Kewangan melonjak 12.82 mata kepada 16,860.09.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 2.55 bilion saham bernilai RM2.18 bilion berbanding 2.65 bilion saham bernilai RM2.20 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 444.8 juta unit bernilai RM97.7 juta berbanding 467.8 juta unit bernilai RM99.5 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 344 juta unit bernilai RM82.3 juta berbanding 348 juta saham bernilai RM66.3 juta pada Selasa.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 327.4 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (400.3 juta), pembinaan (567.9 juta), teknologi (251.6 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (42.2 juta) 330 juta), perladangan (69 juta), REIT (12.5 juta), tertutup / dana (122,800), tenaga (423.1 juta), penjagaan kesihatan (22.9 juta), telekomunikasi dan media (31 juta) , dan utiliti (40.1 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X