Rabu, 3 April 2019 | 6:56pm
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.38 mata kepada 1,643.21 mata.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.38 mata kepada 1,643.21 mata.

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia hari ini ditutup tinggi bagi dagangan pertengahan minggu susulan pelabur semakin yakin, disokong oleh pemulihan ekonomi global.

Ini termasuk rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang mencatatkan perkembangan positif, kata peniaga.

Petunjuk penanda aras pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.38 mata kepada 1,643.21 daripada 1,632.83 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 5.44 mata lebih tinggi kepada 1,638.27 sebelum bergerak antara 1,635.80 dan 1,645.54 sepanjang hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 490 berbanding 329, manakala 414 kaunter tidak berubah, 623 kaunter tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.67 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 2.76 bilion unit bernilai RM1.97 bilion semalam.

Peniaga berkata saham China meningkat kepada paras tertinggi, yang pernah dicatatkan pada Mac tahun lepas, susulan perkembangan rundingan berkenaan.

Hang Seng Hong Kong naik 1.18 peratus kepada 29,975.31, manakala Bursa Saham Shanghai menokok 1.24 peratus kepada 3,216.30.

“Selain itu, berdasarkan peningkatan semula sektor perkhidmatannya, pelabur China kini menyuntik dana mereka ke dalam pasaran negara sendiri, serta lokasi lain, termasuk Bursa Malaysia.

“Keseluruhannya, pelabur global gembira dengan perkembangan rundingan perdagangan China-AS,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif (Hal Ehwal Antarabangsa) Dewan Perniagaan AS, Myron Brilliant, dilaporkan berkata kedua-dua negara tersebut kini akan meneruskan sehingga ke peringkat akhir rundingan.

“90 peratus daripada rundingan itu telah diselesaikan, namun 10 peratus terakhir ini merupakan aspek paling sukar, ia bahagian yang paling rumit dan memerlukan kompromi daripada kedua-dua pihak,” katanya.

Di pasaran tempatan, antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.24, PetChem turun dua sen kepada RM9.08, Tenaga kurang empat sen kepada RM12.54 manakala Public Bank melonjak 30 sen kepada RM23.

Antara saham aktif, My EG susut empat sen kepada RM1.42, KNM naik 2.5 sen kepada 15 sen, Priceworth menokok setengah sen kepada 6.5 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 35.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 74 mata kepada 11,585.04, Indeks FBM Emas Syariah menambah 63.44 mata kepada 11,742.30 dan FBMT 100 meningkat 68.71 mata kepada 11,426.69.

FBM 70 menokok 72.20 mata kepada 14,326.95 namun Indeks FBM Ace turun 2.77 mata kepada 4,834.34.

Mengikut sektor pula, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.52 mata kepada 169.13, Indeks Perladangan menambah 36.06 mata kepada 7.218.10 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 77.23 mata kepada 16,898.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.89 bilion saham bernilai RM1.76 bilion daripada 2.0 bilion saham bernilai RM1.80 bilion yang dicatatkan semalam.

Waran merekodkan jumlah dagangan sebanyak 483.31 juta unit bernilai RM103.48 juta berbanding 407.85 juta unit bernilai RM88.01 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 299.42 juta saham bernilai RM73.25 juta daripada 354.18 juta saham bernilai RM82.89 juta yang dicatatkan pada Selasa.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.07 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; barangan dan perkhidmatan industri (334.96 juta), pembinaan (137.95 juta), teknologi (240.89 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.26 juta), hartanah (128.54 juta), perladangan (75.72 juta), REIT (10.04 juta), dana tertutup (25,500), tenaga (561.28 juta), penjagaan kesihatan (39.16 juta), telekomunikasi dan media (23.39 juta), pengangkutan dan logistik (32.25 juta) serta utiliti (14.28 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X