Jumaat, 29 March 2019 | 8:06pm
Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 semalam. - Foto hiasan

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan permintaan disebabkan pelabur kekal tidak memasuki pasaran untuk memantau perkembangan pertumbuhan ekonomi global, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 semalam.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley, berkata dagangan mata wang asing secara keseluruhan agak tenang hari ini berikutan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sementara menunggu perkembangan lanjut daripada rundingan perdagangan AS-China.

“Mengenai masa depan, perkembangan daripada rundingan perdagangan di Beijing hari ini dan Washington minggu depan mempunyai potensi untuk mewujudkan peningkatan yang ketara dalam mata wang dan turun naik tidak menentu, tidak kira sama ada berita itu baik atau buruk,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM), berkata pasaran kewangan domestik meningkat dalam keadaan sentimen pelabur yang positif berikutan ringgit naik sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS pada Februari, disokong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin dalam pasaran bon.

“Ini sejajar dengan trend serantau dan didorong oleh minat untuk mengambil risiko yang meningkat oleh pelabur global,” menurut BNM dalam “Sorotan Bulanan - Februari 2019” hari ini.

Dalam pada itu, dilaporkan bahawa Standard Chartered Bank, dalam nota penyelidikannya hari ini, berkata disebabkan unjuran pertumbuhan ekonomi yang perlahan, BNM dijangka mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas pada Mei tahun ini.

Sebelum ini, ia menjangka BNM akan mengekalkan kadar bagi 2019 berdasarkan pandangannya pertumbuhan ekonomi yang kukuh berbanding 2018 dan keselesaan bank pusat dengan pertumbuhan domestik.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0086/0128 daripada 3.0055/0100 semasa ditutup semalam, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.3122/3203 daripada 5.3542/3607.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.6820/6872 daripada 3.6937/6983 dan naik berbanding euro kepada 4.5737/5809 daripada 4.5871/5937. - BERNAMA

Berita Harian X