Selasa, 26 March 2019 | 7:47am
Indeks S&P 500 ditutup lebih rendah berikutan kebimbangan berhubung kelembapan pertumbuhan ekonomi global yang berterusan. - Foto hiasan

S&P 500 ditutup rendah

NEW YORK: Indeks S&P 500 ditutup lebih rendah berikutan kebimbangan berhubung kelembapan pertumbuhan ekonomi global yang berterusan dan saham Apple Inc jatuh selepas syarikat itu melancarkan perkhidmatan penstriman videonya.

Indeks itu bergerak antara wilayah negatif dan positif sepanjang sesi, dengan pelabur memantau pasaran Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Pulangan penanda aras bon Perbendaharaan 10 tahun jatuh ke tahap paling rendah sejak Disember 2017.

Rizab Persekutuan minggu lalu memutuskan untuk tidak menaikkan kadar faedah tahun ini.

Penyongsangan lengkung hasil atau ‘yield curve inversion’, sekiranya ia berkekalan, dilihat sebagai penunjuk bahawa kemelesetan mungkin dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Indeks kewangan S&P 500 turun 0.4 peratus, jatuh untuk hari kelima berturut-turut, penyusutan paling lama tahun ini.

Dow berakhir lebih tinggi, dibantu kenaikan 2.3 peratus dalam Boeing Co selepas pengeluar pesawat itu berkata ia akan memberi taklimat kepada juruterbang dan pengawal selia minggu ini berhubung kemas kini perisian dan latihan untuk pesawat 737 MAX, dengan Ethiopian Airlines dan Qatar Airways menyatakan keyakinan terhadap syarikat itu meskipun kemalangan maut baru-baru ini.

Saham Apple turun 1.2 peratus, menarik turun indeks.

Pembuat iPhone itu melancarkan perkhidmatan penstriman kandungan asli Apple TV+ dan perkhidmatan langganan Apple TV Channels, menyertai pasaran penstriman yang sudah pun sesak.

Dow Jones Industrial Average naik 14.51 mata atau 0.06 peratus kepada 25,516.83.

S&P 500 turun 2.35 mata atau 0.08 peratus kepada 2,798.36.

Sejumlah 6.96 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.69 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X