Jumaat, 15 March 2019 | 2:44pm
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.57 mata kepada 1,677.09 pada rehat tengah hari.

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Saham-saham di Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari, dengan minat baharu ke atas saham-saham wajaran tinggi, diketuai DIGI, IOICorp dan Axiata.

Minat ke atas kaunter barisan kedua dan ketiga turut membantu mengangkat bursa tempatan.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.57 mata kepada 1,677.09 berbanding 1,674.52 pada penutupan Khamis, selepas dibuka 0.07 mata lebih tinggi pada 1,674.59.

Indeks bergerak antara 1,672.60 dan 1,678.55 di sepanjang sesi pagi.

Kedudukan pasaran sedikit positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 368 berbanding 361, manakala 351 kaunter tidak berubah, 824 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.57 bilion saham bernilai RM997.75 juta.

Trend semalam yang menyaksikan pelabur memberi perhatian kepada saham-saham bermodal kecil, barisan kedua dan ketiga, dijangkakan berterusan hari ini.

Maybank Investment Bank Bhd berkata minat ke atas saham barisan kedua dan ketiga meletakkan pelabur dalam sentimen gembira, namun minat itu dijangkakan reda tidak lama lagi.

“Sementara itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak antara 1,665 dan 1,690 hari ini, dengan sokongan penurunan pada 1,658 dan 1,645,” katanya.

Bagi DIGI, saham syarikat itu naik sembilan sen kepada RM4.62, IOICorp menambah enam sen kepada RM4.52 manakala Axiata meningkat tiga sen kepada RM4.19.

Bagi saham wajaran tinggi lain, Maybank dan PChem masing-masing susut satu sen kepada RM9.48 dan RM9.24, PBBank menokok empat sen kepada RM24.48 dan Tenaga meningkat dua sen kepada RM12.66.

Antara saham aktif, Sapnrg menokok dua sen kepada 37 sen, warannya menambah 2.5 sen kepada 14 sen, Pworth menokok satu sen kepada 5.5 sen dan HuaAn susut satu sen kepada 28 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 21.56 mata kepada 11,732.75, FBMT 100 menambah 21.96 mata kepada 11,577.69, manakala FBM 70 menokok 40.05 mata kepada 14,173.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 2.96 mata kepada 17,473.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.18 mata kepada 170.40 manakala Indeks Perladangan meningkat 27.26 mata kepada 7,245.68.

– BERNAMA

Berita Harian X